GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) dan UMNO Pulau Pinang dijangka mengadakan mesyuarat kedua minggu depan bagi meneruskan perbincangan mengenai isu pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, beliau berharap mesyuarat kedua itu akan membuahkan hasil dengan mendapat persetujuan kedua-dua pihak berhubung hal-hal berkaitan PRN.
”Kita masih belum tetapkan (tarikh mesyuarat), namun dalam masa terdekat. Kita pun tidak ada masa lagi, mungkin minggu ini atau minggu depan,” katanya selepas majlis pengakuan penerimaan jawatan Datuk Bandar MBPP di Dewan Bandaraya, di sini hari ini.
Pada 2 Mei lalu, UMNO dan PH Pulau Pinang mengadakan pertemuan buat pertama kali bagi membincangkan mengenai soal pembahagian kerusi dan isu-isu berkaitan PRN.
Pada mesyuarat itu, PH dan UMNO Pulau Pinang mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada PRN akan datang.
Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada pilihan raya umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.
BN menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan, manakala Pas mempunyai satu kerusi, Penaga.
Menurut Kon Yeow, setakat ini hasil mesyuarat pertama belum dibawa ke peringkat pimpinan Pusat PH mahupun UMNO.
“Ini kerana selagi peringkat negeri boleh selesaikan, kita selesaikan di peringkat negeri sahaja. Kita cuma akan melaporkan pencapaian yang kita perolehi sahaja kepada Pusat.
“Bagaimanapun, kita harap pertemuan dan perbincangan ini tidak lebih dari dua kali,” katanya. – UTUSAN