KEPALA BATAS: Tiada keputusan muktamad dicapai antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang berhubung pembahagian kerusi menjelang pilihan raya negeri (PRN), namun rundingan mengenainya antara kedua-dua pihak berjalan lancar.
Ketua Jabatan Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat memperincikan isi perbincangan yang dilaksanakan secara tertutup itu.
“Ini juga antara persefahaman yang kita capai bersama pimpinan PH sebab dalam rundingan ini, banyak sudut pandang akan dipersembahkan dan kita kena perhalusi dari semua sudut.
“Apa boleh saya katakan ia berjalan lancar, (it’s progressing well) dan kita akan pastikan kerajaan yang akan dibina semula ini berteraskan formula atau gagasan perpaduan seperti yang berlaku di peringkat persekutuan.
“Lebih baik kita nantikan (keputusan) sehingga ia sampai ke tahap yang sudah dimuktamadkan kerana tidak wajar untuk saya bercerita sedangkan rundingan masih berlangsung dengan baik,” katanya ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjurannya, di sini malam tadi yang dihadiri kira-kira 10,000 penduduk tempatan.
Majlis itu turut dihadiri pemimpin BN dan PH negeri termasuk Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.
Reezal Merican berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan rundingan pertama kali dan bersejarah antara BN serta PH Pulau Pinang itu yang berlangsung 2 Mei lalu.
Pada 2 Mei lalu, UMNO dan PH Pulau Pinang mengadakan pertemuan bagi membincangkan mengenai soal pembahagian kerusi dan isu-isu berkaitan PRN.
Pada mesyuarat itu, PH dan UMNO Pulau Pinang mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada masa akan datang dan difahamkan pertemuan setetusnya akan diadakan minggu depan. – UTUSAN