BUKIT MERTAJAM: Pertindihan kerusi antara Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang dan Barisan Nasional (BN) negeri antara punca rundingan pembahagian kerusi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang masih belum dapat dimuktamadkan.
Pengerusi BN negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir bagaimanapun berkata, kedua-dua pihak tetap kekal tenang dan bertolak ansur dalam isu pembahagian kerusi dalam memastikan kemenangan Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, perbincangan terus berlangsung dalam suasana baik malah atas dasar dan semangat setia kawan, kedua-dua parti yakin tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.
“Kita sudah bincang dua kali, ada isu yang sudah selesai dan ada masalah berbangkit yang belum (selesai).
“Saya tak mahu nak kata itu ini kerana masalah tidak akan selesai, tetapi PH pun bertolak ansur dengan kita, bukannya kekal ‘demand’ dengan apa yang mereka nak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perkembangan hasil pertemuan kedua-dua gabungan itu yang berlangsung semalam.
Terdahulu, Musa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DAP negeri di Bukit Tengah, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pengerusi DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, veteran DAP, Lim Kit Siang serta pimpinan PH dan UMNO negeri.
Ditanya mengenai kerusi yang diminta khusus buat calon UMNO, Musa menegaskan, pihaknya menjalankan perbincangan dan bukannya meminta kerusi seperti yang didakwa.
“Kita tak minta (kerusi), kita bincang ja (sahaja),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Musa enggan mengulas lanjut berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang yakin Perikatan Nasional (PN) mampu meraih kemenangan di semua kerusi Melayu di negeri ini.
“Tak apa lah, hat tu (yang itu) dia (Muhammad Sanusi) kata, kita jangan ikut dia sebab kalau kita jawab, perangai kita pun akan jadi macam dia.
“Biar dia dengan cara dia, kita dengan cara kita sebab kalau masing-masing ‘dok’ serang balas sampai bila pun isu ini takkan habis.
“Tunggu masa PRN nanti, kita tengok berapa kerusi dia menang dan berapa yang kita boleh menang,” katanya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, rundingan berhubung pembahagian kerusi akan diteruskan sehingga kata putus berjaya dicapai.
“Masalahnya kita bukan boleh mengadakan mesyuarat dalam tempoh dua ke tiga jam sebab ada perkara yang dibangkitkan perlu dibawa ke jawatankuasa parti masing-masing.
“Jadi, ia akan diteruskan sehingga kata sepakat berjaya dicapai,” katanya. – UTUSAN