GEORGE TOWN: Parti MCA dan MIC turut menuntut supaya diberikan kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang dalam mesyuarat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang diadakan di sini baru-baru ini.
Bagaimanapun, menurut Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, permintaan itu bukan hanya dibuat dalam rundingan antara PH dan BN di peringkat negeri, malah turut disuarakan dalam mesyuarat di peringkat Pusat.
“Mesyuarat di peringkat Pusat dan negeri, mereka (MCA dan MIC) mula membawa permintaan kerusi mereka. Tetapi memang itu pun tujuan rundingan, kita perlu dengar apa masing-masing inginkan, apa ‘outcome’ dari sudut pandangan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kon Yeow yang juga Ketua Menteri ditanya sama ada MCA dan MIC turut menuntut diberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada PRN negeri itu tidak lama lagi.
Terdahulu, Kon Yeow mengesahkan mesyuarat terbaharu antara PH dan BN Pulau Pinang berkenaan rundingan kerusi bagi PRN yang diadakan pada Sabtu lalu turut disertai wakil MCA dan MIC selepas mesyuarat sebelumnya BN hanya diwakili pemimpin UMNO.
Dalam pada itu, ditanya berkenaan laporan akhbar berbahasa Mandarin yang mendakwa MCA akan mendapat dua kerusi untuk ditandingi di Pulau Pinang pada PRN kelak, Kon Yeow berkata, rundingan berkenaan pembahagian kerusi masih berjalan dan keputusan mengenainya akan diumumkan pihak bertanggungjawab apabila semua rundingan selesai.
“Pada peringkat ini, apa yang dikatakan itu (oleh akhbar berbahasa Cina) mungkin cuma cadangan mana-mana parti,” katanya.
Tambah beliau, mesyuarat kerjasama PH-BN pada PRN itu juga akan berlangsung di peringkat Pusat minggu ini dan Pulau Pinang akan membawa hasil rundingan di peringkat negeri pada mesyuarat tersebut untuk dipertimbangkan pada mesyuarat tersebut.
“Rundingan di peringkat negeri akan dilaporkan ke peringkat kebangsaan untuk kita peroleh keputusan dan arahan seterusnya yang mungkin perlu dibawa balik (dibincang semula di peringkat negeri).
“Rundingan ini adalah satu proses dan ia masih berlangsung,” katanya.
Ditanya sama ada pembahagian kerusi PRN itu hanya boleh diputuskan di peringkat Pusat, Kon Yeow berkata, kerusi-kerusi yang tidak ada pertikaian atau pertindihan antara PH dan BN boleh diputuskan di peringkat negeri.
“Cuma kalau ada kerusi-kerusi yang masih perlu dirundingkan, maka ia akan dilaporkan di peringkat Pusat. Itu adalah prosesnya, sebab dalam satu mesyuarat mungkin kita tidak dapat capai semua, ada orang yang akan setuju dan ada yang masih tidak setuju,” katanya. – UTUSAN