PRN: Kedah, Terengganu boleh bertukar kerajaan sekiranya strategi tepat - Utusan Malaysia

PRN: Kedah, Terengganu boleh bertukar kerajaan sekiranya strategi tepat

MOHAMMAD Agus Yusoff ketika berucap pada Himpunan Mahasiswa Madani di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Arau, Perlis malam tadi-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kedah dan Terengganu berpotensi bertukar kerajaan negeri sekiranya parti-parti di bawah kerajaan Madani dapat menggunakan strategi yang tepat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Selain itu, peluang bagi pertukaran kerajaan itu juga semakin cerah berdasarkan isu-isu yang dibawa pada saat akhir dan keprihatinan ditunjukkan buat dua negeri pembangkang berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mohammad Agus Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan sokongan rakyat terhadap pembangkang tidak mustahil boleh berubah dengan strategi yang berkesan itu dalam menghadapi PRN.

“Saya juga menaruh harapan agar kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberikan keprihatinan buat negeri-negeri pembangkang ini secara berterusan.

“Dengan cara ini, biar pun kerajaan Madani tidak berkuasa di negeri pembangkang, namun dengan bantuan dan dasar-dasar yang dilaksanakan ini, maka ia boleh menambat hati rakyat,” katanya selepas Himpunan Mahasiswa Madani yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), di sini malam tadi.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Naib Canselor Unimap, Prof. Dr. Zaliman Sauli dan Pengerusi Yayasan Graduan, Datuk Mohd Faizal Daud.

Dalam pada itu, Mohammad Agus berkata, beliau berpandangan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak akan menyaksikan pertukaran kerajaan negeri pada PRN nanti.

“Bagi Kelantan pula, parti yang bersama kerajaan Madani mungkin akan berdepan sedikit kekangan namun dengan komitmen ditunjukkan Perdana Menteri berdasarkan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini, mungkin ia akan dapat membawa kepada perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Agus turut menyatakan kebimbangan berhubung perkembangan politik di negara ini yang sering dimomokkan dengan isu agama dan kaum oleh pihak tertentu.

Katanya, kerajaan Madani bagaimanapun menggunakan pendekatan untuk tidak mengambil tindakan terhadap cubaan pihak tertentu itu dan lebih mengambil pendirian bagi mengubah sikap masyarakat.

“Isu perkauman dan agama ini perlu diselesaikan dengan pemahaman, kasih sayang, tolak ansur dan hormat-menghormati.

“Perdana Menteri menghulurkan salam bahawa jika kerajaan ini boleh bertoleransi, mengapa rakyat tak boleh ubah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya