KANGAR: Barisan Nasional (BN) sedang mengadakan rundingan sebelum memuktamadkan sebarang keputusan berhubung penetapan kerusi buat parti-parti kompenennnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah memberi tanggungjawab kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagi mengadakan perbincangan bersama parti-parti kompenan dalam melancarkan proses rundingan tersebut.
Katanya, setelah rundingan berkenaan selesai di peringkat negeri, perkara itu kemudiannya akan di bawa untuk pertimbangan Dewan Tertinggi BN.
“Keputusan akhir berhubung penetapan kerusi itu akan diputuskan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) dan Pengerusi BN,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitiri UMNO Negeri Perlis di Dewan Sivik, di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai permohonan parti MIC yang meminta agar BN memberikan kerusi munasabah buat parti itu pada PRN nanti.
Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran dilaporkan berkata, parti itu tidak akan menuntut kerusi tradisi mereka namun mengharapkan agar dapat menempatkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang munasabah.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN juga mengambil pendekatan untuk tidak tergopoh-gopoh dalam membuat sebarang keputusan berhubung calon yang akan bakal bertanding pada PRN nanti.
“Kita harus santuni permintaan dan keperluan semua malah saya yakin dengan pendekatan penuh kebijaksanaan, pembahagian kerusi ini dapat dimuktamadkan dengan harmoni,” katanya.-UTUSAN