PRN: Ahmad Samsuri tidak pasti DUN bakal ditandingi - Utusan Malaysia

PRN: Ahmad Samsuri tidak pasti DUN bakal ditandingi

AHMAD Samsuri Mokhtar menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Majlis Hari Raya DUN Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut, Marang, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi parti menentukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Naib Presiden Pas itu berkata, beliau sedia bertanding di kawasan-kawasan yang akan ditetapkan nanti.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak dapat memastikan sama ada kekal bertanding di kerusi DUN Rhu Rendang atau berpindah di DUN lain

“Ini bukan hak saya untuk saya buat keputusan (DUN yang ditandingi) walaupun (saya) Naib Presiden Pas.

“Apa-apa jua (keputusan) ditentukan oleh kepimpinan tertinggi,” katanya ketika ditemui pada Majlis Hari Raya DUN Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut, di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sarawi Sulong (729 undi).

Bagaimanapun, Menteri Besar itu dijangka kekal bertanding mempertahankan kerusi DUN Rhu Rendang pada PRN ini.

Selain itu, Ahmad Samsuri memberitahu, agihan kerusi DUN yang akan ditandingi calon Perikatan Nasional (PN) di enam negeri melibatkan Pas, Bersatu dan Gerakan belum selesai dan masih di peringkat perundingan lagi.

Tambahnya, perbincangan terakhir agihan kerusi itu akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Kita akan cari ruang waktu yang sesuai dalam tempoh terdekat ini untuk kita duduk dan bincang agihan kerusi di enam negerii terlibat,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya