KLANG: Potensi perniagaan industri halal di Malaysia, Thailand dan Indonesia berupaya mencecah sehingga trilion ringgit berikutan jumlah penduduk khususnya umat Islam di ketiga-tiga negara rantau Asia Tenggara itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Stanco Industri Halal Selangor, Mohd. Fakhrulrazi Mohd. Mokhtar berkata, melihat kepada potensi perniagaan tersebut, Sekretariat Usahawan Muslim Serantau ditubuh melibatkan pengusaha-pengusaha dari ketiga-tiga negara tersebut.
“Ketiga-tiga negara ini amat serius membangunkan industri halal kerana ia boleh dilaksanakan dengan baik terutama penyediaan makanan halal. Industri halal ini berperanan penting kerana sebagai satu tuntutan untuk mendapatkan makanan, penentuan dan kualiti halal mengikut syariat sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kerjasama Pemasaran Produk Berasaskan Kelapa antara Citra Resources anda Services dan PT. Nira Lestari International Indonesia.
Mohd. Fakhrulrazi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meru berkata, meskipun Thailand bukanlah sebuah negara Islam, namun mereka juga menitikberatkan soal pensijilan halal itu sendiri.
Jelasnya, bagaimanapun, kebanyakan bahan mentah bagi penghasilan produk terutama makanan di Thailand kebanyakannya diambil dari negara bukan Islam lain.
“Kita sepatutnya boleh perkenalkan produk (bahan mentah) daripada kita (Malaysia) atau pun Indonesia. Saya beri contoh, Indonesia dari segi bahan mentah dan kos tenaga kerja di sana jauh lebih murah berbanding di Malaysia.
“Tetapi dari segi teknologi, Malaysia mungkin ke hadapan dan kita juga banyak bantuan dari agensi kerajaan lain seperti kajian, pemasaran produk dan sebagainya,” ujarnya.
Sehubungan itu, pihaknya yakin kerjasama antara tiga itu mampu dimanfaatkan dalam rangka hubungan perniagaan industri halal terbabit termasuk merancakkan sektor pelancongan masing-masing. – UTUSAN