Jenama Polis Evo memang antara filem genre aksi tempatan yang diingati sejak bertemu khalayak pada tahun 2015. Setiap sekuelnya ditunggu, dibualkan di media sosial dan meraih kutipan puluhan juta ringgit di panggung.
Sebab itu, ketika dimaklumkan trilogi filem Polis Evo 3 akhirnya siap, saya senyum teruja. Selepas Ghaz Abu Bakar dan Joel Soh, kini giliran Syafiq Yusof dipilih dan diberi kepercayaan melengkapkan perjalanan Inspektor Khai dan Sani dalam filem terakhir ini.
Polis Evo 3 melalui proses panjang dan diperam lima tahun kerana dunia dilanda pandemik. Bahkan sebelum ia melalui suntingan terakhir, beberapa babak dilakon ulang untuk hasil yang benar-benar memuaskan. Syafiq dan pasukannya tidak main-main menghasilkan filem yang menelan belanja melebihi RM8 juta ini.
Baru minit ketiga filem ini ditayangkan saya terangguk-angguk, gembira kerana Polis Evo 3 terus menyajikan paduan aksi dengan cuitan jenaka antara Zizan Razak, Shaheizy Sam juga Michael Ang.
Sebuah pembuka filem yang cemerlang berbanding beberapa naskhah sebelum ini yang harus menunggu 10 minit atau 15 minit untuk aksi pertamanya (yang tidak seberapa) muncul.
Pujian perlu diberikan kepada Joel Soh, Kyle Gooting dan Anwari Asyraf kerana menyusun sebuah naratif dan memelihara sebuah lakon layar yang baik sehingga penulis tidak berasa ingin membelek telefon bimbit dan tidak sempat menguap kerana dialognya menangkap dengan baik.
Jenakanya bijak dan bersahaja, bukan lawak slapstick merendah mana-mana jantina atau pihak. Seperti babak di kedai cincin, seorang lelaki berbangsa Cina dengan loghat pekat Terengganu menggodanya dengan pelbagai jenis cincin kahwin. Mengekalkan sebutan loghat di dalam dialog juga bijak kerana ia menjadikan filem ini hidup lebih nyata dalam nuansa tempatan.
Berbanding filemnya sebelum ini, antagonis Polis Evo 3 hanya seorang. Iaitu watak bekas anggota polis bernama Reza yang dibawa sangat cemerlang oleh Sharnaaz Ahmad. Premis filem ketiga ini tidak kompleks. Ia mudah. Hanya seorang bekas anggota polis yang memberontak.
Namun, seorang antagonis itulah yang cukup menggoncang dunia Inspektor Khai dan Inspektor Sani. Cukup untuk membuat sebuah letupan tragis di Pulau Pinang.
Kata orang, ketakutan dari masa lalu adalah musuh yang sukar ditumpaskan. Di sinilah Khai harus berperang dengan masa lalunya bersama Reza. Dari sebuah persahabatan yang cukup akrab, masing-masing membawa jalan masing-masing. Reza kembali setelah beberapa tahun bersama dendam.
Penonton pasti tahu bagaimana akrabnya persahabatan inspektor Khai dan Sani. Namun Polis Evo 3 membuatkan persahabatan mereka bergoncang. Khai harus memilih siapa yang harus dipertahankan. Khai harus memilih siapa yang perlu ditumpaskan.
Namun Khai, dengan dialog paling ikonik dalam filem ini meyakinkan Sani.
“KAU AKU KITA LAIN, BOH,”
Persahabatan yang dibina bersama Sani adalah berbeza dengan persahabatannya dengan Reza. Khai berdiri antara masa lalu dan masa depannya. Seronok menyaksikan bagaimana filem kita menyuguhkan sebuah mesej persahabatan antara lelaki.
Sharnaaz memang sedang bergelut dengan hidupnya semasa penggambaran Polis Evo 3. Kesakitan dan kerapuhan perasaan itu dibawa Sharnaaz menjiwa Reza. Aksi Reza memaut kolar baju Khai, dalam mata yang bergenang air mata dendam dan kesedihan sangat memukau.
Tidak ada yang sengaja mahu menjadi jahat. Ada alasan besar mengapa Reza memilih berpaling tadah. Mungkin selepas filem ini, Reza akan menjadi seorang watak penjahat yang sukar dibenci.
FILEM PALING KEMAS SYAFIQ YUSOF
Polis Evo 3 berjaya menampilkan persembahan aksi yang cemerlang. Daripada letupan di rumah, kedai makan, kereta sehinggalah aksi tembak-menembak dan aksi pergaduhan, semuanya patut diberikan pujian.
Farali Khan di dalam filem ini sebagai penembak tepat memang menghadirkan karisma tertentu. Dia tampil berbeza dengan lakonanya dalam filem aksi sebelum ini. Mungkin kerana Farali mempunyai asas seni bela diri, babak pergaduhannya juga cemerlang. Farali adalah watak sampingan yang sukar dilupakan diikuti Fauzi Nawawi.
Cuma mungkin jika boleh diberikan cadangan, saya merasakan act tiga filem ini boleh lebih diperkemaskan terutamanya babak pergaduhan Khai dan Reza. Ia habis terlalu sekejap. Sekiranya lebih intens, atau lebih drama ketegangan akhir antara dua sahabat baik ini berlaku, mungkin Polis Evo 3 akan lebih mengesankan.
Juga ketika babak di Bukit Bintang, seharusnya mereka yang duduk di sekeliling meja makan akan cuak dan menggigil setidaknya bangun meninggalkan kedai makan apabila melihat seseorang memakai bom di baju mereka.
Namun ia hanyalah cadangan kecil yang tidak langsung mengganggu jalan cerita mahupun menghilangkan kehebatan Polis Evo 3. Sedih sebenarnya mengenangkan trilogi ini mungkin berakhir di sini. Semoga akan ada sesuatu daripada Polis Evo akan menemui penonton di tahun mendatang.
Saya sudah menonton beberapa filem aksi karya Syafiq Yusof sebelum ini. Namun Polis Evo 3 adalah karyanya yang paling kemas dan cemerlang setakat ini. Mengenangkan filem ini dihasilkan oleh pengarah yang baru berusia 30 tahun, kami rasa takjub dan berbangga serta menantikan lebih banyak lagi filem hebat daripada Syafiq. Tahniah!