Polis beri permit bersyarat untuk perarakan pedati di SPS - Utusan Malaysia

Polis beri permit bersyarat untuk perarakan pedati di SPS

STATUS yang dimuat naik di laman sosial Facebook David Marshel baru-baru ini yang mendakwa Ketua Polis Daerah SPS enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut Hindu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang menafikan tidak memberikan kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut agama Hindu di Seberang Perai Selatan (SPS) seperti yang didakwa Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), David Marshel di laman Facebooknya baru-baru ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya telah memberikan kelulusan permit bersyarat untuk perarakan di daerah itu.

”Saya ingin menegaskan kita tidak pernah membelakangkan mana-mana permohonan permit keagamaan, semua permit keagamaan yang dipohon tidak pernah ditolak.

”Terdapat kelulusan permit secara bersyarat, malah permohonan permit pihak tersebut telah diluluskan dengan syarat, bukan tidak lulus langsung,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah SPS, Superintendan Lee Chong Chern membuat laporan polis terhadap David selepas didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.

David memuat naik kenyataan di laman sosial Facebooknya dengan mendakwa Ketua Polis Daerah SPS enggan dan sengaja melambatkan proses kelulusan permit untuk perarakan pedati bagi upacara keagamaan penganut Hindu.

Kenyataan itu antara lain menyebut beberapa permohonan kuil ditolak atas sebab tidak munasabah sekali gus menidakkan hak penganut agama Hindu yang mahu mengadakan upacara keagamaan.

Menurut Mohd. Shuhaily, kelulusan bersyarat yang dikenakan itu mengambil kira maklum balas masyarakat setempat, keselamatan dan kegusaran masyarakat.

”Tujuan permit bersyarat ini adalah untuk menjaga keselamatan dan kententeraman awam.

”Selain itu, polis juga tidak pernah cuba menggagalkan apa-apa dasar kerajaan, kami berdiri teguh dan berkhidmat kepada kerajaan sedia ada, ingin juga saya tegaskan perkara ini tidak ada kaitan dengan isu politik, malah kami patuh dalam konteks undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, siasatan kes itu masih diteruskan dan pemilik Facebook berkenaan masih belum dipanggil untuk diambil keterangan.

”Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

”Siasatan juga masih diteruskan, kita dalam tindakan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan sebagai Ketua Polis Pulau Pinang, sekiranya berlaku apa-apa kekurangan, tindakan tatatertib akan dijalankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya