KUALA TERENGGANU: Penantian seorang jurutera selama dua tahun untuk melihat pokok pisang ‘tutup aurat’ yang ditanamnya mengeluarkan hasil berbaloi apabila pokok itu mengeluarkan jantungnya sejak minggu lalu.
Mohamad Saleh, 59, dari Kampung Surau Haji Daud di sini, berkata, benih pokok pisang itu diperoleh daripada pokok pisang ‘tutup aurat’ yang pernah tular di pekarangan Masjid Paloh 2, Gua Musang, Kelantan pada tahun 2015 lalu.
Menurutnya, pokok pisang ‘tutup aurat’ itu dikatakan yang pertama ditanam di Malaysia dan dipercayai ia hanya eksklusif ditanam di pekarangan istana Raja Thailand.
Katanya, pisang itu digelar pisang ‘tutup aurat’ kerana buahnya tersembunyi dengan daun yang berlapis-lapis, tidak seperti pokok pisang biasa.
“Saya yang minat dengan keunikan pokok pisang tersebut telah pergi ke Masjid Paloh 2 untuk meminta sesikat pisang yang telah masak daripada imam di masjid itu pada April 2021 dan berjaya memperoleh 300 biji benih pisang berkenaan untuk disemai.
“Daripada semua benih yang disemai itu, hanya empat yang tumbuh tunas dan kini, tinggal tiga pokok sahaja masih hidup,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mohamad memberitahu, dia yang sedikit ilmu dalam bidang pertanian telah membuat formulasi sendiri untuk menghasilkan baja dan racun organik untuk disembur kepada pokok pisang tersebut.
“Insya-Allah, buah pertama pisang itu dijangka boleh dituai pada akhir Jun atau awal Julai depan,” katanya.
Tambahnya, difahamkan, setakat ini, pokok pisang tersebut tidak pernah dilihat ditanam di Terengganu dan tidak menolak kemungkinan ia adalah yang pertama di negeri ini.
“Mungkin lepas ini, rumah saya akan jadi tumpuan susulan berita pokok pisang ‘tutup aurat’ ini, namun saya tidak kisah jika orang ramai mahu datang untuk ambil gambar atau video kerana ia memang ganjil.
“Insya-Allah, saya juga boleh berkongsi tips atau petua penjagaannya kepada mana-mana individu atau pihak yang berminat kerana perkara yang positif patut disebarkan secara meluas,” katanya. – UTUSAN