PN ukur baju di badan sendiri sebelum mahu rampas Pulau Pinang - Utusan Malaysia

PN ukur baju di badan sendiri sebelum mahu rampas Pulau Pinang

MUHAMMAD FADZLI ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Penduduk Pulau Pinang kini lebih bijak menilai yang mana ‘permata’ dan yang mana ‘kaca’ dalam memilih pemimpin terbaik untuk membela nasib mereka.

Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang, Muhammad Fadzli Roslan berkata, Perikatan Nasional (PN) harus membuktikan kejayaan mereka di negeri yang ditadbir terlebih dahulu sebelum memasang impian menawan negeri ini.

“Gesaan saya agar ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen PN mengukur baju di badan sendiri.

“Mereka digesa untuk menumpukan seluruh perhatian terhadap permasalahan-permasalahan rakyat di kawasan masing-masing yang mungkin akan ‘dirampas’ oleh Kerajaan Perpaduan nanti.

“(Jadi), simpan cita-cita untuk menawan Pulau Pinang jika kawasan mereka sendiri pun tidak terjaga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Muhammad Fadzli, dakwaan kononnya PN Pulau Pinang bakal merampas sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN di negeri ini juga boleh diibaratkan seperti ‘mimpi di siang hari’.

Bahkan katanya, umum mengetahui keberadaan mereka sebagai ADUN dan Ahli Parlimen pembangkang di Pulau Pinang sebelum ini tidak menampakkan kesungguhan dalam membantu rakyat.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka lebih gemar ‘bermain’ naratif dan politik daripada ‘menjuarai’ isu rakyat.

“Kerajaan Pulau Pinang di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) ketika ini telah banyak membantu rakyat dalam pelbagai isu.

“(Sebagai contoh), sejak 2009, sebanyak RM33.2 juta jumlah peruntukan telah disalurkan bagi tujuan pembangunan agama Islam di negeri ini dan jumlah peruntukan ini ditambah setiap tahun,” katanya yang menambah, sebanyak 136,333 buah rumah mampu milik juga telah dibina sejak 15 tahun lalu yang memberi banyak manfaat kepada penduduk negeri ini.

Tambah beliau, pembangunan pesat dalam sektor perkilangan selain peluang pekerjaan yang banyak ditawarkan ketika ini juga merupakan antara manfaat yang dikecapi bukan sahaja oleh penduduk Pulau Pinang, malah penduduk negeri lain termasuk Kedah dan Kelantan yang mencari rezeki di negeri ini.

“Sebagai contoh, ‘Batu Kawan Industrial Park’ (BKIP) merupakan antara tapak pembangunan perkilangan dan perindustrian yang sedang rancak dibangunkan serta dijangka menawarkan ribuan peluang pekerjaan selepas ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya