PMerdana Menteri tak wajar dengar cakap ‘langau’

PM tak wajar dengar cakap ‘langau’

RAZALI Idris pada Majlis Sambutan hari raya BERSATU bersama media di Wangsa Maju. - UTUSAN/M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak seharusnya terkesan dengan desas desus kononnya pihak pembangkang mempunyai ‘angka besar’ untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan.

Menurut Ketua Penerangan Bersatu, Senator Datuk Razali Idris, dia percayaa,  jika nyata Anwar mendapat sokongan seramai 148 ahli Parlimen, beliau seharusnya yakin dengan majoriti dan sokongan yang dimilikinya. 

Malah, tambah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu lagi, Anwar sepatutnya membawa usul tersebut di Parlimen jika yakin mempunyai angka sokongan yang kuat.

“Yang mencabar ini sebenarnya perdana menteri. Perdana menteri itu perdana menteri atau pembangkang? Kalau dia rasa tidak yakin dengan 148 yang dikatakan kuat, dialah yang sepatutnya cadang supaya undi percaya diadakan di Parlimen.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pernah keluarkan kenyataan begitu. Datuk Seri Hamzah Zainuddin tak pernah, Tan Sri Abdul Hadi Awang pun tak pernah nombor-nombor ini.

“Cuma yang ada adalah dari luar. Cakap-cakap politik. Gosip-gosip. Takkanlah perdana menteri terkesan dengan gosip-gosip kecil-kecil ini. Tak perlu dengarlah cakap ‘langau-langau’,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Bersatu bersama media, di sini, hari ini.

Ia juga bagi mengulas cabaran Anwar supaya pembangkang membuktikan mereka mempunyai majoriti yang cukup untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan pada sidang Parlimen yang dijadualkan hujung Mei ini.

Selain itu, kata Razali, Anwar tidak seharusnya terkesan dengan gosip menumbangkan kerajaan sebaliknya memberi tumpuan kepada isu ekonomi yang dihadapi rakyat terutama isu kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Kalau dia dah kuat, 148 ini dua pertiga majoriti kan? Apa nak risau. Apabila dia bercakap begitu, sebagai rakyat biasa melihat dia gagal. Dia gagal menguruskan ekonomi.

“Menteri (saya) tengok semua cakap politik. Apabila OPR naik terus ekonomi cakap rakyat tak terkesan,” katanya. 

Razali berkata, kepimpinan Bersatu juga tidak pernah membincangkan mengenai jumlah sokongan ahli Parlimen bagi menumbangkan kerajaan.

“Tidak wujud perbincangan begitu. Kita dengar orang cakap di luar. Kita tidak adalah bincang kita ada berapa, berapa. Tak ada bicang khusus nak gulingkan kerajaan. 

“Kita memang tak setuju dengan kerajaan yang ada sekarang ini. Sebab itu sebagai pembangkang kita mana boleh terima. Tapi kita membangkang dengan fakta.

“Kita tak setuju dengan pembangkang sebab sekarang ekonomi tak bergerak. Tak ada (cara) spesifik bagaimana kerajaan nak bangunkan ekonomi pasca Covid. Tak ada,” katanya. – utusan

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN