PM tak perlu tanya 'angka' pada saya - Hamzah - Utusan Malaysia

PM tak perlu tanya ‘angka’ pada saya – Hamzah

HAMZAH Zainuddin (tengah) bersalam dengan pengunjung pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Arena Astaka, Batu Kurau di Larut hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Perdana Menteri tidak seharusnya mencabar pihak yang mendakwa kononnya mempunyai sokongan kukuh untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan agar membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga tidak perlu bertanya kepadanya soal ‘angka’ atau akuan bersumpah (SD) dan sokongan majoriti untuk dibawa ke Parlimen ketika khabar angin wujud gerakan untuk menumbangkan kerajaan.

“Jadi (Perdana Menteri) tak perlu nak tanya saya tentang berapa jumlah, bilangan angka-angka ini. Saya fikir yang elok untuk kalangan kita semua ialah bersabar dan lihat sahaja apa yang hendak kerajaan tentukan.

“Kalau rasa tidak berpuas hati, maka berdoalah banyak-banyak kepada Allah kerana Dia yang akan menentukannya nanti,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Arena Astaka Batu Kurau di sini hari ini.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Perdana Menteri tidak seharusnya menggelabah apabila mencabar Pembangkang agar menyatakan jumlah sokongan majoriti yang dimiliki.

Menurutnya, ini kerana pihak yang membangkitkan keraguan tentang kerajaan hari ini ialah rakyat sendiri.

“Sepatutnya sebagai Perdana Menteri, dia kena bekerja bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan segala masalah yang sedang dihadapi oleh rakyat terutamanya dalam keadaan kos sara hidup yang kian meningkat dan bukannya merasa ‘koyak’ apabila rakyat membangkitkan isu keraguan terhadap kerajaan,” katanya.

Semalam, Anwar mencabar pihak yang mendakwa kononnya mempunyai sokongan kukuh untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan membawa usul berkenaan ke sidang Parlimen akan datang.

Ini berikutan terdapat desas-desus yang tersebar kononnya Pembangkang mempunyai akuan bersumpah (SD) dan sokongan majoriti untuk menumbangkan kerajaan.

Sementara itu, Hamzah berkata, Perdana Menteri perlu adil dalam membantu semua negeri dan tidak hanya menumpukan perhatian terhadap enam negeri yang bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, ini berikutan beliau difahamkan Pulau Pinang bakal mendapat pelbagai bentuk bantuan daripada kerajaan Pusat termasuk dua negeri yang dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH) yang akan terlibat PRN.

“Jangan kerana PRN, kerajaan hanya menumpukan negeri-negeri di bawah penguasaan PH sahaja seperti Pulau Pinang tetapi negeri lain tak diberi bantuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya