PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka hadir ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 tiga hari di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur, Indonesia mulai esok, 9 Mei 2023.
Sebaik sahaja tiba di sana, Perdana Menteri akan turut mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina (BIMP-EAGA) dan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT).
Malah, Anwar akan turut hadir empat sesi pertemuan dengan wakil-wakil Belia ASEAN, Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025.
Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menjelaskan, sidang ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang menyasarkan kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan dalam usaha meningkatkan lagi nilai perdagangan dan pelaburan di wilayah-wilayah tersebut.
Katanya, Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 merupakan platform kepada semua negara anggota untuk membincangkan hala tuju ASEAN dan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN, yang merangkumi Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025 serta Pelan-Pelan Tindakan untuk ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN, iaitu politikkeselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
“Doakan semoga Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 kali ini akan berjalan lancar dan dapat memperkukuhkan lagi hubungan antara negara-negara ASEAN dan seterusnya memperhebat gagasan ASEAN di peringkat global,” katanya.-UTUSAN