Piala FA: Sang Penyu tepati ramalan ke separuh akhir, tewaskan Kelantan FC 4-2 - Utusan Malaysia

Piala FA: Sang Penyu tepati ramalan ke separuh akhir, tewaskan Kelantan FC 4-2

PEMAIN TFC, Liridon Krasniqi (dua, kiri) diasak pemain Kelantan FC dalam saingan Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu, petang ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Terengganu FC (TFC) menepati ramalan mara ke separuh akhir Piala FA selepas mengalahkan Kelantan FC 4-2 di peringkat suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, petang ini.

Beraksi dalam cuaca panas tidak menghalang TFC melancarkan serangan menerusi Ivan Mamut, Sony Norde dan Nik Sharif Haseefy Nik Lazim pada awal permainan.

Peluang terbaik skuad Penyu hadir minit ke-15 menyaksikan hantaran lintang Mamut ditanduk oleh Engku Nur Shakir Engku Yaacob namun diselamatkan penjaga gol pelawat.

Tekanan TFC membuahkan hasil selepas bek kanan, Azam Azmi Murad yang naik ke atas melakukan rembatan deras dari dalam kotak penalti untuk memecahkan kebuntuan minit ke-17.

Penyokong tuan rumah terus bersorak pada minit ke-29 apabila Mamut melakukan sepakan gunting menarik untuk gol kedua malangnya dibatalkan kerana ofsaid.

Penyerang Crotia itu bagaimanapun tidak mensia-siakan peluang minit ke-41 berpunca rembatan lencong dari luar kotak menewaskan penjaga gol sekaligus menjadikan kedudukan 2-0.

Kegagalan TFC mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihukum penyerang Kelantan FC, Ismaheel Akinade yang membuat tolakan leret untuk merapatkan jurang pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, TFC kembali berkelebihan dua gol setelah umpanan Habib Haroon singgah di kaki Sony Norde (m-53) yang menggelecek penjaga gol lalu mudah meletakkan kedudukan 3-1.

Kelantan FC menghidupkan perjuangan menerusi Akinadi yang menyudahkan sepakan penalti minit ke-64 gara-gara kekasaran Shahrul Nizam Roshasni ke atas penyerang pelawat itu.

Pemain sayap, Syafik Ismail (m-82) mematikan perjuangan Kelantan FC hasil ledakan menarik kaki kiri di penjuru kotak penalti untuk memastikan kemenangan 4-2 memihak TFC.

Keputusan itu membolehkan TFC hanya selangkah untuk mengulangi pencapaian tahun lalu layak ke final dengan pemenang antara Sabah dan KL City FC menanti Sang Penyu di separuh akhir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya