Peserta MFLS terima titipan motivasi dari Pemangku Raja Perlis

Peserta MFLS terima titipan motivasi dari Pemangku Raja Perlis

Tuanku Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2023 anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di Cheras.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Para peserta Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tier 3 Tahun 2023 teruja dan bersemangat setelah mendengar titah motivasi disampaikan oleh Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizzuddin Putra Jamalullail.

Majlis Titipan Titian Kasih Bersama Tuanku Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil anjuran Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada kali ini merupakan tahun kedua majlis ini disempurnakan oleh Baginda berdua.

Program yang sedang berlangsung secara bersemuka ini bermula daripada 5 sehingga 19 Mei 2023 ini bertempat di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras, Kuala Lumpur.

Objektif utama program MFLS Tier 3 adalah berdasarkan tujuh elemen iaitu kepimpinan, pembentukan watak dan jati diri, kenegaraan, keusahawanan, kesukarelawanan, komunikasi dan pengantarabangsaan.

Menyambut keberangkatan tiba Baginda berdua adalah Ketua Pengarah i-LEAD, Mohd Haswandi Ahmad, Presiden Majlis Perwakilan MFLS, Muhamad Fahim Mohd Farid dan Timbalan Presidennya, Putry Balqees Aqasyah Mohd Fadhly.

Turut hadir ke majlis khas yang turut dijayakan dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) pada kali ini ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim, Ketua Setiausaha KBS, Nagulendran Kangayatkarasu serta Pengurusan Tertinggi KBS.

Program Titipan Titian Kasih merupakan modul program di bawah elemen kenegaraan iaitu Institusi Beraja. Modul ini bertujuan untuk mendekatkan rakyat khususnya belia dengan Institusi Beraja selain memahami realiti dan fakta tentang kepentingan sistem pemerintahan beraja atau sistem kesultanan.

Sepanjang program ini berlangsung, pelbagai pengisian disampaikan kepada para peserta antaranya, Bicara Tamu, Komunikasi Berimpak Tinggi, Bicara Ikon, Bicara Kenegaraan, Karnival Sukan, Kesukarelawanan, Outreach Agensi, Lawatan Parlimen dan ASEAN Cultural Heritage.

MFLS Tier 3 melibatkan seramai 150 orang yang terdiri dalam kalangan peserta terbaik program MFLS Tier 2 pada tahun 2020, 2021 dan 2022. Mereka ini dipilih melalui proses saringan dan sesi temuduga yang telah dilaksanakan di seluruh negara pada 17 hingga 21 Mac 2023 lalu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah pada majlis tersebut, “Para peserta MFLS Tier 3 merupakan aset berharga yang telah di asah bakat dan didedahkan dengan pelbagai aktiviti dan program untuk mengembangkan potensi sebenar mereka”.

Tuanku Pemangku Raja berdoa agar program ini terus berjaya membentuk legasi kepimpinan negara masa hadapan yang mempunyai mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan dan dipermudahkan perjalanan menuju kejayaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya