SABAK BERNAM: ‘Terminal Sekinchan’ yang menempatkan pesawat Boeing 727 di kawasan sawah di Parit 5 di sini, bakal menjadi tarikan dan produk pelancongan terbaharu di Selangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, terminal yang sedang dibangunkan sebagai cawangan kafe premium itu dikunjungi lebih 30,000 pengunjung setakat ini.
Katanya, terminal yang tular sejak tahun lalu itu didapati sesak dengan kehadiran orang awam yang merakam gambar dan video terutama sepanjang Aidilfitri ini.
“Pada waktu ini, kerja pembangunan dan ubah suai kafe berkenaan sedang dijalankan oleh pihak swasta yang terlibat dalam sektor pelancongan. Saya difahamkan bahawa banyak perbelanjaan dilaburkan bagi pembangunan tersebut,” katanya ketika ditemui di Sekinchan, hari ini.
Tambah Suee Lim, Terminal Sekinchan mendapat promosi tersendiri menerusi perkongsian tular pengunjung di media sosial
“Selain itu, terminal berkenaan dipromosi bagi sebuah drama syarikat televisyen tempatan awal bulan ini. Kita berharap lokasi itu akan terus menjadi tumpuan selepas dibuka secara rasmi kelak,” ujarnya.
Pada 16 April lalu, tular di media sosial mengenai sebuah pesawat yanh dibawa khas menggunakan jalan darat. Mengikut rekod, pesawat itu dipercayai didaftarkan pada 18 Jun 1981 dan sudah berusia lebih 40 tahun. – UTUSAN