PENDANG: Seorang pesawah ditemukan meninggal dunia di kawasan bendang di Kampung Bukit Raya Dalam, di sini kira-kira pukul 8.30 pagi tadi.
Mangsa, Zakaria Md. Saman, 70, disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Klinik Kesihatan Pendang yang tiba di lokasi tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintenden Arriz Sham Hamezah yang dihubungi mengesahkan kejadian dan memaklumkan pemeriksaan ke atas badan mangsa tidak menemukan sebarang kesan kecederaan.
“Mangsa dikatakan turun ke bendang miliknya awal pagi tadi untuk meninjau keadaan bagi membolehkan kerja-kerja membajak sawah dijalankan.
“Kita masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca sebenar kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Pendang, Leftenan (PA) Yuslina Yusoff berkata, mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses saringan Covid-19 dan bedah siasat. –UTUSAN