ARAU: Hujan lebat khususnya pada waktu petang sejak beberapa hari lalu melegakan penduduk yang sebelum ini berdepan cuaca cukup panas dengan suhu mencecah sehingga 37 darjah Celsius.
Antara yang paling lega adalah pesawah apabila bendang mereka mula dipenuhi air untuk proses penanaman selepas ini.
Jika sebelum ini, ada sesetengah tanah bendang kering kontang sekali gus mengundang kebimbangan pesawah memulakan penanaman musim baharu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pesawah, Mahmud Abu, 66, berkata, hujan lebat sejak kebelakangan ini melegakan mereka apabila sawah kembali dipenuhi air untuk proses tanaman.
Berikutan itu, kata pesawah dari Tambun Tulang itu, dia sudah melakukan kerja-kerja awal pembersihan kawasan untuk proses penanaman sebelum menabur benih padi.
Katanya, sejak sebulan lalu, cuaca sangat panas dan memberi kesan kepada kawasan tanaman padi sehingga kering.
“Alhamdulilah meskipun pada sebelah pagi dan tengah hari masih cuaca panas namun pada sebelah petang sejak beberapa hari lalu, hujan lebat. Ia membantu pesawah untuk proses tanaman selepas ini,” katanya.
Sebelum ini Utusan Malaysia melaporkan, cuaca panas melanda negara termasuk negeri ini dengan suhu mencecah sehingga 37 darjah Celsius menyebabkan paras air di Tasik Timah Tasoh menyusut.
Malah cuaca panas sejak kebelakangan ini menyebabkan kawasan kira-kira 30 meter ke belakang dari tasik tersebut yang sebelum ini dilimpahi air mula kering sekali gus membolehkan orang ramai berjalan di situ untuk merakamkan gambar dan sebagainya.
Empangan Timah Tasoh yang terletak kira-kira 17 kilometer dari bandar Kangar merupakan empangan saliran terbesar di negeri ini dan menyediakan bekalan air domestik atau perindustrian di samping turut memenuhi keperluan pengairan 2,466 hektar tanah sawah untuk penanaman padi dua kali setahun di kawasan utara dan tengah Perlis.
Seorang lagi pesawah, Mansor Salleh, 55, berkata, dia sudah bersedia untuk kerja-kerja penanaman padi selepas bendang kembali dipenuhi air.
“Jika sawah kering kontang dan tanah merekah ia menyukarkan kami untuk melaksanakan kerja-kerja penanaman padi ini. Alhamdulilah hujan kembali membasahi bumi Perlis,” katanya. – UTUSAN