ALOR SETAR: Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini bagi menghadapi pertuduhan menipu seorang wanita untuk satu urusan hartanah di Langkawi, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Fadhilah Hanafi, 70, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut pertuduhan, lelaki yang merupakan seorang pesara kerajaan didakwa memperdaya mangsa yang kini berusia 67 tahun untuk mempercayai bahawa dia merupakan pemilik satu hartanah di Lot 934, Kampung Sungai Menghulu di Langkawi sedangkan tanah itu adalah milik kerajaan.
Mohd. Fadhilah yang pernah bertugas di salah sebuah pejabat daerah dan tanah dalam negeri ini kemudiannya didakwa dengan curangnya mendorong mangsa untuk memindahkan wang berjumlah RM15,000 melalui dua cek tunai Public Islamic Bank kepada anaknya yang mana wanita berkenaan tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 27 Jun 2016 di Public Bank Berhad Cawangan Langkawi.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, manakala tertuduh diwakili peguam, Chui Jing Hong.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun, disebat dan dikenakan denda oleh mahkamah.
Terdahulu pihak pendakwaan mencadangkan agar mahkamah membenarkan tertuduh dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.
Pihak pembelaan bagaimanapun memohon agar jumlah jaminan ditetapkan pada kadar minimum dengan alasan tertuduh mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan sakit sendi.
Selain itu tertuduh dikatakan turut menjalani pembedahan kaki akibat kemalangan tahun lalu dan masih memerlukan rawatan hingga kini dengan dia juga tidak memiliki sebarang rekod jenayah.
Mahkamah kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM9,000 dengan anak tertuduh sebagai penjamin. Tertuduh juga tidak dibenarkan mendekati serta mengganggu saksi pendakwaan serta perlu melapor diri di pejabat SPRM pada setiap awal bulan.
Tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 4 Julai depan. –UTUSAN