Peruntukan RM82.5 juta elak Teluk Intan jadi 'bandar tenggelam' - Utusan Malaysia

Peruntukan RM82.5 juta elak Teluk Intan jadi ‘bandar tenggelam’

NGA Kor Ming (kiri) beramah mesra bersama peniaga ketika melawat Pasar Besar Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Kebimbangan penduduk Teluk Intan bahawa bandar itu akan tenggelam pada masa depan bakal berakhir apabila projek tebatan banjir bagi melindungi perbandaran itu akan dibina mulai tahun ini dan dijangka siap pada 2026.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengumumkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM80 juta untuk projek tebatan banjir fasa dua bandar tersebut melibatkan sekitar kawasan tebing Sungai Perak sepanjang enam kilometer.

“Projek ini turut melibatkan pembinaan taman rekreasi awam di sepanjang pesisiran sungai tersebut sekali gus memastikan ia bukan sahaja berupaya mengatasi masalah banjir kilat tetapi juga menjadi tarikan pelancongan terbaharu di bandar ini.

“Proses tender terbuka akan dilaksanakan bulan ini manakala kerja-kerja pembinaan dijangka antara dua hingga tiga bulan selepas itu (tender diluluskan),” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Pasar Besar Teluk Intan di sini hari ini.

Sejak sekian lama, terdapat kebimbangan bandar Teluk Intan yang terkenal dengan Menara Jam Condong bakal tenggelam kerana kedudukannya yang berada dalam Lembangan Sungai Perak yang berbentuk U menjadikan bandar itu seolah-olah sebuah pulau.

Kebimbangan itu menyebabkan ada usaha untuk memindahkannya dengan membina bandar baharu di kawasan berdekatan, selain bandar itu sendiri sering dilanda banjir kilat setiap tahun apabila berlaku fenomena air pasang besar kerana paras tanahnya antara 1.6 hingga 2.5 meter berbanding paras ketika air pasang iaitu 2.75 meter.

Projek tebatan banjir fasa pertama bernilai RM75 juta telah siap dalam Rancangan Malaysia Ke-10 yang memberi manfaat kepada kira-kira 250,000 penduduk yang tinggal dalam penempatan berkeluasan 16.25 km persegi itu.

Dalam pada itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, mengumumkan peruntukan RM2.5 juta daripada Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi empat projek menaik taraf dan penyelenggaraan infrastruktur awam sekitar bandar tersebut, yang dijangka siap sebelum akhir tahun ini.

Beliau memaklumkan, projek itu melibatkan Pasar Besar Teluk Intan dengan peruntukan RM800,000; Medan Selera Glutton Square di Jalan Ah Cheong dan Pusat Penjaja di Jalan Maharani masing-masing RM600,000 serta Taman Rekreasi Riverfront di Jalan Mahkamah (RM500,000).

Tambahnya, penyaluran peruntukan itu bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, keselamatan dan keselesaan peniaga dan pengunjung, sekali gus merancakkan lagi ekonomi setempat.

Jelasnya lagi, ia melibatkan keseluruhan 45 skop projek dengan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) bertindak sebagai agensi pelaksana.

“Secara keseluruhan peruntukan sebanyak RM82.5 juta diluluskan untuk Teluk Intan, yang juga bajet paling besar pernah diperolehi di kawasan ini,” ujarnya.

Tambah beliau, peruntukan itu merupakan bajet berasaskan prestasi atau peruntukan berlandaskan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya