Peruntukan RM300 juta laksana projek ‘sentuh hati rakyat’

Peruntukan RM300 juta laksana projek ‘sentuh hati rakyat’

NGA Kor Ming beramah mesra dengan peniaga gerai pada Majlis Jalinan Muhibbah KPKT di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan sejumlah RM300 juta pada tahun ini bagi pelaksanaan projek-projek berkaitan menerusi kementeriannya.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu akan diagih secara adil dan profesional mengikut negeri berdasarkan keperluan dan penilaian yang dibuat.

“Saya telah memulakan jelajah sentuhan kasih sayang kerajaan Persekutuan ini sejak tiga bulan yang lalu, setiap minggu saya akan melawat negeri yang berlainan seperti sebelum ini ke Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Perak. Minggu ini saya akan ke Negeri Sembilan dan seterusnya Johor.

“Kita akan beri peruntukan secara adil dan profesional mengikut keperluan, katakan jalan sudah cantik takkan nak buat penurapan, itu satu pembaziran, jadi kita ikut keperluan dengan buat penilaian secara objektif.

“Jumlah tahun ini kita akan memperuntukkan melebihi RM300 juta bagi melaksanakan projek-projek yang (boleh) menyentuh hati rakyat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis sambutan Aidilfitri KPKT di sini hari ini.

Menurut Kor Ming, beliau akan mengadakan lawatan ke negeri Johor yang dijadualkan pada Isnin depan dan membuat beberapa pengumuman berkenaan peruntukan yang akan disalurkan untuk rakyat di negeri tersebut.

Beliau juga memaklumkan peruntukan bagi negeri itu akan melibatkan dana pembangunan melebihi RM10 juta selain menyelesaikan masalah penurapan jalan, naik taraf medan selera, pembersihan tandas awam serta pembinaan taman rekreasi.

Pada 6 Februari lalu, media melaporkan Pulau Pinang menerima peruntukan sebanyak RM40 juta bagi dua projek pembangunan menerusi KPKT bagi tujuan menaik taraf Pasar Awam Bukit Mertajam dan penyelenggaraan projek perumahan awam kos rendah.

Dalam perkembangan berlainan, Kor Ming memberi peringatan kepada orang awam agar tidak melakukan pembakaran sampah secara terbuka berikutan keadaan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.

Jelasnya, mana-mana pihak yang didapati menjalankan pembakaran secara terbuka boleh dikenakan kompaun atau dihadapkan ke mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kualiti Alam atau tindakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Baru-baru ini JBPM mengenal pasti lebih 400 hot spot yang berisiko tinggi akan berlaku kebakaran. Oleh itu saya mohon jasa baik seluruh rakyat untuk memberi kerjasama supaya menghentikan pembakaran sampah secara terbuka dengan serta-merta.

“Jangan lagi ada pihak yang masih tiada kesedaran kerana pembakaran terbuka ini boleh jadi lebih teruk terutamanya di kawasan pedalaman ketika cuaca panas luar biasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya