SIAPA sangka anak seni yang pernah memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Drama Anugerah Seri Angkasa 2006 dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Anugerah Skrin 2018 ini sebenarnya tidak pernah bercita-cita menjadi seorang pelakon.
Segalanya bermula selepas Azizah Mahzan, 59, mengikuti kelas teater bagi keperluan kokurikulum secara tidak sengaja disebabkan dirinya tidak mempunyai pilihan lain ketika menuntut di ITM yang kini Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Secara kebetulan, katanya, tenaga pengajar kokurikulum ketika itu ialah pelakon disegani, Jalil Hamid dan Wan Hanafi Su.
“Mula-mula tak tahu apa itu lakonan. Saya pula jenis tak banyak cakap ketika itu.
“Namun, selepas mengikuti kelas teater baru saya dapat bina keyakinan diri dan menjadi seorang yang lebih bersedia.
“Sebenarnya teater bukan mengajar kita untuk menjadi pelakon, tetapi mengajar kita bagaimana untuk melalui kehidupan,” katanya yang menuntut dalam bidang perakaunan di universiti berkenaan.
KERJA BANK
Anak kelahiran Johor Bahru ini berkata, dia menceburi bidang lakonan agak lewat ketika sudah berusia 29 tahun dan drama pertamanya adalah pada 1991.
Sebelum itu, katanya, dia bekerja di bank secara sepenuh masa dan membuat kerja sambilan di TV3.
Menceritakan detik bekerja dengan stesen penyiaran swasta, Azizah berkata, masih segar dalam ingatan ketika dirinya masih menuntut di ITM.
Katanya, setiap kali hujung minggu dia akan keluar mengisi masa lapang bersama kawan-kawan lain menaiki bas.
“Masa itu saya terlihat iklan besar TV3 sedang mencari penyampai berita. TV3 pula baru ditubuhkan masa 1984.
“Saya sangat suka melihat penyampai berita kerana sebutan dan diksi mereka yang jelas. Saya pun cuba menyertai uji bakat dan tak sangka dapat,” kongsinya.
PENGACARA NONA
Disebabkan komitmen sebagai penuntut universiti ketika itu, pelakon drama rantaian Spa Q ini berusaha meminta pihak TV3 menjadikannya penyampai berita separuh masa.
“Saya tak boleh bagi komitmen sepenuh masa ketika itu. Saya sudah pergi latihan baca berita, belajar vokal dan berhadapan kamera.
“Bagaimanapun, akhirnya saya tak pernah dapat peluang baca berita, sebaliknya mereka panggil saya menjadi pengacara Nona pada 1984. Ketika itu, saya pernah digandingkan bersama Dian P.Ramlee,” katanya.
Bertitik-tolak daripada itu, Azizah mula mempelajari bidang pengacaraan dan sangat mencintai bidang kewartawanan dengan menemu ramah individu tertentu termasuk menteri.
“Saya lebih suka buat kerja di lapangan ketika itu. Suka keluar dan temu ramah orang di luar seperti kerjaya wartawan sekarang.
“Masa itu, ada sekumpulan wartawan yang baru bergraduasi dari luar negara seperti Wan Zaleha Radzi dan Ezzah Aziz Fawzy,” katanya.
Sewaktu berkhidmat di TV3, Azizah yang pernah membintangi filem Ombak Rindu berkata, dia sebenarnya masih bekerja secara sepenuh masa dengan bank.
Disebabkan kerap mengambil cuti pada hari Selasa dan Rabu, katanya, pihak bank mula menyedari dirinya melakukan pekerjaan lain dan kerap muncul di televisyen.
Kongsinya, dia kerap menerima surat amaran berwarna merah jambu daripada majikan kerana pernah mengambil cuti sehingga tempoh dua minggu.
“Saya diminta berhenti kerja bank sebab masa itu mereka sudah tahu saya jadi pengacara di TV3.
“Setiap kali rakaman, saya akan minta cuti sampai pihak bank pelik kenapa saya selalu tiada di pejabat masa hari Selasa dan Rabu.
“TV3 ada tawarkan kerja sepenuh masa tetapi saya tolak tawaran tersebut dan hanya menjadi hos sambilan,” katanya.
Walaupun membuat pilihan untuk berhenti kerja dari bank, Azizah tidak pernah rasa menyesal kerana beranggapan setiap pekerjaan yang dilakukan adalah rezeki terbaik buat dirinya.
“Saya tak kata itu salah percaturan, tetapi anggap itu adalah rezeki kita. Masa itu TV3 bayar ‘lebat’ dan lebih banyak daripada gaji bekerja di bank.
“Kalau kerja bank masa itu dibayar RM800, TV3 boleh bayar saya sampai ribuan ringgit. Namun, saya tolak untuk diserap secara tetap kerana akan dibayar mengikut gred pengajian. Masa itu, saya hanya ada diploma,” katanya.
MAHU PINDAH KE NEGARA LAIN
Sewaktu bekerja dengan sebuah bank terkemuka di di ibu negara, Azizah pernah membuat permohonan kepada pihak majikan supaya dipindahkan ke cawangan lain di luar negara.
Ketika itu, mungkin jiwa mudanya memberontak sehingga pernah terniat tidak mahu lagi tinggal di Malaysia.
“Saya hendak cuba sesuatu. Saya tak tahu kenapa seolah-olah seperti tidak cintakan Malaysia.
“Saya merasakan hidup sangat mencabar ketika itu. Orang lain mungkin tidak. Namun, tak pernah berjaya sampai tak layak lagi hendak berpindah ke luar negara,” kongsinya.
Selepas bergraduasi dari ITM, Azizah berkata, Jalil Hamid pernah membawa dirinya ke Kementerian Kebudayaan untuk terlibat dengan teater.
Sejak itu, dia mula mengenali pelakon hebat lain seperti Eman Manan, Shaharuddin Thamby dan ramai lagi.
“Waktu itu belum berlakon drama dan muncul di televisyen lagi. Ikutkan ayah saya tak pernah bagi kebenaran untuk berlakon.
“Kalau teater ayah bagi sebab dulu dia ingat teater itu sebahagian daripada kursus pembelajaran di ITM. Pelakon, Ismail Yaacob ialah individu pertama yang mengesyorkan saya muncul di TV,” katanya.
WATAK PEJUANG
Kerap diberikan watak antagonis dan hampir sama bagi setiap drama yang dijayakan membuatkan Azizah menjadi selektif.
Katanya, dia sangat mengidamkan watak yang dapat meninggalkan impak besar kepada penonton kerana drama bukan sekadar lakonan semata-mata.
“Saya tak ambil job sebab asyik-asyik karakter sama, balik-balik cerita ibu mentua tak suka menantu.
“Saya sangat teringin untuk menjayakan watak tentang pejuang wanita. Baik pejuang kanan atau kiri, saya tak kisah.
“Ada ura-ura hendak buat kisah Shamsiah Fakeh. Saya pernah dapat watak Matahari dalam sebuah drama lama, tetapi tak dapat dikeluarkan kerana ada masalah teknikal. Saya juga pernah dapat watak Tan Sri Saleha Mohd. Ali iaitu kakak kepada Tun Siti Hasmah.
“Cerita seperti inilah yang penuh dengan isi dan sarat mesej. Barulah saya dapat penjiwaan karakter sepenuhnya sebab feel dia lain kalau kita dapat watak hidup sebenar,” kongsinya.