Perlukah darurat iklim? - Utusan Malaysia

Perlukah darurat iklim?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN suhu semasa di negara ini adalah rentetan corak iklim melampau yang merupakan ciri pemanasan global. Jika sebelum ini, berita tentang cuaca panas lebih banyak datangnya dari rantau Eropah, kini benua Asia pula sedang bergelut dengan gelombang haba. Saintis meramalkan tahun 2023 akan menjadi tahun paling panas disebabkan pengaruh fenomena El Nino.
Gelombang haba adalah satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang agak panas. Selain mengganggu keselesaan masyarakat dalam melaksanakan rutin seharian, gelombang haba ini turut memberi cabaran kepada kesihatan awam, gangguan kepada rantaian sektor strategik seperti penjanaan tenaga serta bekalan makanan.
Namun, fokus utama tentunya kepada risiko melaksanakan aktiviti luar. Terkini, pelajar tadika Kemas diberi kelonggaran untuk tidak hadir ketika gelombang haba berlaku. Kesan ini lebih terasa kepada pekerja sektor tidak formal seperti pemandu e-hailing dan juga buruh sektor pembinaan atau perladangan.
Menurut Jabatan Meteorologi, fenomena gelombang panas ini dijangka berterusan sebelum beransur pulih menjelang penghujung Jun. Malah, MetMalaysia juga telah mengeluarkan amaran tahap satu gelombang haba untuk kawasan apabila suhu berlegar sekitar 35°C hingga 37°C bagi tiga hari berturut-turut.
Menariknya taburan kawasan amaran gelombang haba kelihatan berselerak dan bukan tertumpu pada satu-satu lokasi. Ini berkemungkinan dipengaruhi oleh faktor persekitaran tempatan seperti kedudukan bandar di lembah yang memerangkap haba.
Perkembangan cuaca ini menimbulkan persoalan sama ada perlukah pengisytiharan darurat iklim. Hakikatnya, kita tidak bersedia untuk berhadapan dengan satu lagi darurat ketika negara masih berusaha pulih daripada impak pandemik Covid-19.
Walaupun negara pernah berhadapan dengan musim jerebu, namun impak gelombang haba jelas merisaukan bagi penghuni kawasan bandar dengan wujudnya fenomena pulau haba manakala kawasan luar bandar pula tidak semestinya dilitupi dengan kawasan hijau yang boleh meredakan bahang ini,
Namun, kita percaya agensi dalam pengurusan bencana negara telah bersiap siaga dengan langkah menghadapi bencana. Langkah awal memantau gelombang haba serta pembenihan awan telah dan sedang dilaksanakan di lokasi panas.
Penyelarasan aktiviti menghadapi bencana, termasuk pencegahan dan kesiapsiagaan seperti pengawasan terhadap kemungkinan berlaku kebakaran hutan perlu dipertingkat demi mengelak berlakunya pencemaran udara atau jerebu pula.
Bagi mengurangkan bahang kepanasan, penggunaan alat pendingin hawa untuk jangka masa lebih panjang adalah dijangkakan dan ramai akan beralih kepada pendingin hawa berbanding kipas untuk tujuan yang sama. Ini menambah getir bagi kawasan dengan bekalan elektrik yang tidak stabil dan memberi tekanan terhadap kemampanan sumber bekalan elektrik.
Cuaca panas dengan bilangan hari tanpa hujan yang berpanjangan boleh menyebabkan krisis bekalan air minuman dan keperluan seharian terutamanya bagi kawasan yang sedia kala mengalami water stress akibat simpanan di empangan yang menyusut. Usaha pembenihan awan adalah salah satu inisiatif yang perlu diteruskan walaupun ada ketika keberkesanan operasi ini tidak seperti yang diharapkan.
Bekalan air bagi sektor pertanian pula menyaksikan reaksi yang pelbagai. Petani konvensional mungkin mengeluh ketika suhu yang tinggi memendekkan tempoh kesegaran produk. Namun, cuaca panas menggalakkan tanaman mengeluarkan bunga yang tentunya akan membuahkan hasil kepada penanam mangga contohnya.
Langkah mengatasi impak gelombang haba ini perlu disegerakan dengan bantuan kecerdasan buatan dan teknologi data raya, tanpa perlu petani bimbang jika cuaca panas yang berpanjangan boleh menyebabkan tanah kering serta kekurangan air bakal merencatkan hasil.
Tentunya, kita tidak mahu melihat gelombang haba memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan dan harga bahan makanan seterusnya.
Bagi penduduk dengan bekalan air tawar yang terhad, gelombang haba akan memberi lebih tekanan terhadap sumber bahan api untuk berfungsi lebih daripada biasa dalam memastikan kedua-dua permintaan bekalan elektrik untuk lampu dan mesin penapisan air mampu beroperasi pada tahap yang terbaik.
Cuaca panas di Malaysia sebelum ini disederhanakan oleh tahap kelembapan yang tinggi yang sedikit sebanyak membantu mele­gakan sekeliling, Situasi ini me­nyebabkan ramai yang mengambil mudah keperluan untuk mengekalkan hidrasi badan.
Gelombang haba berpanjangan dengan kurangnya mengambil air secukupnya boleh memudaratkan kesihatan golongan rentan yang berisiko kelelahan dan dehidrasi. Warga emas yang terdedah kepada cuaca panas melampau adalah lebih berisiko untuk mengalami masalah kesihatan yang berpotensi membawa maut seperti strok haba.
Kematian berkaitan strok haba seharusnya menjadikan kesemua lapisan masyarakat peka dengan keperluan hidrasi ini dan menjadikan kekerapan minum air sebagai gaya hidup. Walaupun bilangan kes mungkin kecil namun ia tidak harus dipandang rendah.
Kajian segera diperlukan untuk melihat tahap hidrasi badan yang dialami oleh mereka yang terdedah kepada persekitaran panas secara berterusan bagi melihat perkaitan antara cuaca panas dengan ketahanan tubuh dan risiko kemalangan di tempat kerja.
Gelombang haba ini bukan lagi berkisarkan tentang masalah individu rentan yang mempunyai masalah asma atau alahan, sebaliknya bahang ini mampu memberi impak jangka pendek dari segi kesihatan, produktiviti dan jaminan keselamatan tenaga negara.

Dr. Mohd. Yusoff Ishak ialah Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar , Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya