Perkhidmatan feri dijangka lancar, kerja pengerukan hampir selesai - Utusan Malaysia

Perkhidmatan feri dijangka lancar, kerja pengerukan hampir selesai

Abu Bakar Hamzah memberi duit raya kepada kanak-kanak pada majlis rumah terbuka Aidilfitri DUN Kuala Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perkhidmatan feri dari Terminal Penumpang Kuala Perlis dijangka beroperasi dengan lancar menjelang penganjuran Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) pada minggu hadapan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata, pihaknya difahamkan kerja-kerja pengerukan alur pelayaran di kawasan terminal berkenaan telah mencapai tahap 98 peratus dan hampir selesai.

Katanya, berikutan itu, perkhidmatan feri yang ditawarkan kepada pengunjung yang ingin ke Pulau Langkawi dari terminal berkenaan akan berjalan lancar dengan kekerapan antara tujuh ke lapan kali trip perjalanan setiap hari.

“Saya merasakan insiden feri terkandas disebabkan oleh keadaan alur pelayaran yang cetek tidak akan berlaku lagi selepas kerja pengerukan ini selesai sepenuhnya,” katanya selepas Majlis Rumah Terbuka DUN Kuala Perlis, semalam.

Utusan Malaysia pada Selasa lalu melaporkan mengenai insiden 140 penumpang feri dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis terkandas pada jarak kira-kira 0.9 kilometer dari Terminal Penumpang Kuala Perlis.

Kejadian itu berlaku dipercayai berpunca daripada tali yang tersangkut pada enjin feri berkenaan dan menyebabkannya tidak dapat beroperasi dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya juga berharap agar nelayan dapat memastikan tali pukat mereka yang rosak tidak dibuang ke dalam laut bagi memastikan kejadian sama tidak berulang sewaktu LIMA ‘23 nanti.

“Saya nasihatkan supaya semua nelayan dapat membantu dengan tidak membuang tali pukat mereka ke dalam laut bagi menggelakkan kejadian feri terkandas ini berulang,” katanya.

Di samping itu, Abu Bakar berkata, bersempena penganjuran LIMA ‘23 ini, penduduk di Kuala Perlis perlu memastikan agar keadaan persekitaran mereka bersih bagi memberi imej baik kepada pengunjung luar yang datang singgah ke negeri ini.

Tambahnya, pemain industri pelancongan juga diharap dapat menggunakan kesempatan ini bagi menarik pengunjung untuk singgah dan bermalam di Perlis sebelum ke Pulau Langkawi.

“Kita ada banyak tarikan di Perlis dan disebabkan itu, pemain industri pelancongan perlu memainkan peranan bagi menarik minat pengunjung luar untuk singgah di negeri ini yang mempunyai pelbagai tarikan menarik,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya