Perda bangun dua projek rumah mampu milik di Tasek Gelugor - Utusan Malaysia

Perda bangun dua projek rumah mampu milik di Tasek Gelugor

RUBIAH Wang (dua dari kiri) melihat replika projek pembangunan yang akan dibangunkan Perda di Tasek Gelugor pada Majlis Pelancaran Projek-Projek Perumahan PVISB di Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini. - Pix IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

TASEK GELUGOR: Perda Ventures Incorporated Sdn. Bhd. (PVISB) melancarkan dua buah projek perumahan mampu milik yang akan dibangunkan di daerah ini hari ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, kedua-dua projek anak syarikat milik penuh Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) itu melibatkan kos nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion.

Jelas beliau, projek itu melibatkan dua buah taman perumahan iaitu Taman Ara Suria dan Taman Ara Damai di mana kedua-duanya dibangunkan di Tasek Gelugor yang mana masing-masing dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan dan 2025.

Katanya, Taman Ara Suria yang dibangunkan di atas tanah seluas kira-kira 17 hektar telah dimulakan di bawah Fasa 1 dan Fasa 2 tahun lalu melibatkan sebanyak 564 unit.

“Bagi Projek Taman Ara Damai pula, sebanyak 2,072 unit hartanah akan dibangunkan di atas tanah seluas 70 hektar dan kediaman-kediaman ini bakal ditawarkan pada harga bermula RM42,000 ke RM350,000 mengikut jenis rumah,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Projek-Projek Perumahan PVISB di sini, hari ini.

Tambah beliau, pembangunan projek perumahan mampu milik itu adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

“Penghijrahan rakyat ke kawasan sempadan Pulau Pinang, Kedah dan Perak contohnya di Parit Buntar, Bagan Serai dan lain-lain kawasan adalah disebabkan wujudnya rumah-rumah yang lebih murah.

“Sebab itulah bagi memastikan perkara ini dibendung, Perda mengambil inisiatif menyediakan perumahan-perumahan yang mampu dimiliki oleh masyarakat Pulau Pinang khususnya di dalam kawasan Perda, yang kita kategorikan sebagai kawasan luar bandar,” katanya.

Taman Ara Suria merupakan projek pembangunan bercampur terdiri daripada satu blok rumah pangsa kos rendah 15 tingkat yang menawarkan 127 unit kediaman; rumah teres 1 tingkat (386 unit) dan kedai pejabat dua tingkat (51 unit).

Sementara itu, Taman Ara Damai pula meliputi 1,450 unit rumah teres satu tingkat; 74 unit untuk rumah kembar satu tingkat serta rumah bandaran kos rendah dua tingkat (468 unit) termasuk 80 unit kedai pejabat dua tingkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya