Perak di landasan tepat capai RM4.2 bilion pelaburan diluluskan tahun ini - Utusan Malaysia

Perak di landasan tepat capai RM4.2 bilion pelaburan diluluskan tahun ini

SAARANI Mohamad (kanan) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (Perak) di Ipoh, hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak RM2.2 bilion pelaburan diluluskan setakat suku pertama tahun ini di Perak, sekali gus berada di landasan yang betul untuk memenuhi sasaran RM4.2 bilion pelaburan yang diluluskan tahun ini.

Ia menunjukkan peningkatan 24.3 peratus berbanding tahun lalu dan mewujudkan sebanyak 3,816 pekerjaan diluluskan, meningkat 28.5 peratus berbanding tahun lalu.

Kejayaan itu hasil usaha Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan kerjasama kerajaan Perak serta agensi pelaburan Persekutuan dan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad melahirkan rasa sukacita dengan prestasi tersebut yang mampu membuka peluang ribuan peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa prestasi pelaburan Perak adalah amat memuaskan pada 2022, dengan beberapa sektor menunjukkan pertumbuhan kukuh.

“Sektor pertanian telah menjadi pemacu utama pertumbuhan, dengan pelaburan yang besar dalam pembangunan ekosistem rantaian nilai bekalan makanan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh NCIA di sini hari ini.

Terdahulu, Saarani mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Negeri (Perak) di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri optimis terhadap prospek ekonomi negeri tahun ini dengan pelaburan berterusan dalam sektor pertumbuhan utama dan pembangunan industri baharu seperti ekonomi digital.

Jelasnya, dengan sokongan inisiatif yang dibangunkan dan dikendalikan oleh NCIA, beliau yakin Perak akan terus maju dan memberi peluang kepada rakyat dan komuniti perniagaan.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan menjelaskan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang bergantung kepada bakat tenaga mahir dan berkebolehan adalah kritikal untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Perak.

Oleh itu, katanya, NCIA memperkenal pelbagai program modal insan untuk meningkatkan kemahiran bakat tempatan dari negeri ini.

“Usaha NCIA untuk membangunkan ekosistem bakat termasuk inisiatif seperti program peningkatan kemahiran, latihan amali dan program bimbingan untuk membantu PKS menarik dan mengekalkan bakat melalui kaedah inkubator, pemecut (accelerator) dan ruang kerja bersama (co-working spaces) untuk membantu PKS mengakses sumber yang mereka perlukan untuk berkembang dan melakar kejayaan.

“NCIA telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong PKS dan meningkatkan kemahiran bakat di Perak yang selaras dengan Pelan Pembangunan Strategik NCER (SDP 2021-2025) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya