IPOH: Perak Bison belum boleh mendabik dada biarpun merakam dua kemenangan pada minggu pertama saingan Liga Sepaktaraw (STL) Emas Annuar 2022/2023 yang berakhir di Kuala Kangsar, kelmarin.
Ketua jurulatih, Suhairi Abdul Aziz berkata, masih ada kelemahan pada anak buahnya yang perlu diperbaiki untuk menghadapi lawan pada pusingan seterusnya.
“Masih ada kepincangan yang perlu di atasi. Apapun saya bersyukur kami melepasi dua halangan pertama minggu ini,” katanya .
Bison membuat permulaan baik dengan mencatat kemenangan 2-0 ke atas KPT-Masum Knights 21-14, 21-6 pada hari Sabtu.
Begitupun, regu Yob terpaksa mengerah keringat sebelum.mengatasi Sabah Mountaineers 2-1 pada Ahad.
Dalam perlawanan berlangsung di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar itu, trio Jakkrit Thinbanbong, Noraizat Nordin dan Aidil Aiman tidak menghadapi masalah untuk mengutip mata pertama.
Suhairi mengakui kegoyahan anak buahnya pada set kedua menyaksikan mereka tumpas set kedua kepada Mountaineers.
“Saya bersyukur di atas kemenangan pada minggu ini.
“Walau bagaimanapun masih ada kelemahan yang perlu di perbaiki untuk menghadapi pasukan lawan di minggu kedua nanti di Pulau Pinang,” katanya
Beliau memberi pujian kepada Aizat Nordin, Aidil Aiman, Meor Zulfikar Mohd Amin dan pemain import, Jakkrit Thinbanbong yang bermain dengan baik. – UTUSAN