Perak bentang enakmen unggas atasi masalah lalat - Utusan Malaysia

Perak bentang enakmen unggas atasi masalah lalat

SAARANI Mohamad (depan, empat dari kanan) pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan membentangkan pindaan Enakmen Perladangan Unggas Perak 2005 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula pada 22 Mei ini untuk mengatasi masalah lalat terutama yang menjadi keluhan penduduk di Manjung.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, masalah kehadiran lalat yang memenuhi rumah penduduk di Manjung bukan isu baru.

Menurutnya, keadaan itu dikatakan berpunca daripada industri ladang ternakan ayam di kawasan Manjung.

“Namun kita sudah membuat kajian dan mendapati bukan semua ladang ternakan ayam menjadi punca kehadiran lalat.

“Kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan kepada semua penternak untuk menternak dalam sistem tertutup dan apabila penternakan dijalankan dalam sistem tertutup, tiada pencemaran dan tiada lalat yang akan menghurungi najis atau tinja,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Raya Kerajaan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Menurut Saarani, walaupun penternakan dijalankan secara sistem tertutup tetapi tinja ayam dibeli atau diambil oleh pemilik ladang sawit untuk dijadikan baja.

Beliau berkata, walaupun baja kering tetapi apabila bawa masuk ke dalam ladang sawit dan hujan, lalat akan menghurungi tempat tersebut.

Katanya, sehubungan itu adalah tidak wajar menuding jari kepada pengusaha ladang ternakan ayam sebagai punca kehadiran lalat.

“Mereka yang tanam sawit janganlah sewenang-wenangnya letak tinja di perdu sawit, ini adalah punca kehadiran lalat bukan sahaja di Manjung.

“Di mana sahaja jika ada ternakan ayam dibuat secara sistem tertutup tetapi jika tidak menguruskan tinja dengan betul, ini akan menjadi punca kepada kehadiran lalat,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial penduduk di Bandar Baru Setia Awan Perdana, Sitiawan merayu campur tangan kerajaan negeri berhubung kehadiran lalat yang terlalu banyak di kawasan perumahan mereka.

Seorang pengguna akaun memuat naik beberapa video baru-baru ini menunjukkan keadaan rumahnya yang dipenuhi beribu lalat.

Dakwanya, situasi kurang menyenangkan itu berlaku setiap hari meskipun telah membuat aduan namun masih belum diambil tindakan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya