PETALING JAYA: Personaliti RTM, Norlela Mohd. Nor menegur sikap artis yang tidak menghormati dan memahami kerjaya petugas media sehingga hilang pertimbangan dan merasakan diri lebih hebat.
Norlela menjelaskan penyampai berita dan wartawan adalah dua tugas berbeza serta fungsi mereka di dalam bilik berita.
Tambahnya, tidak semua berita penyampai berita perlu melakukan kajian kerana mereka mempunyai belasan hingga 20 berita untuk disampaikan dalam jangka masa sejam.
“Awak boleh tegur penyampai berita jika sebutan salah, mimik muka tak kena dengan berita seperti berita sedih tetapi muka senyum, intonasi bacaan yang tidak kena tempat serta penampilan mereka.
“Tak semua berita mereka perlu telaah dan kaji kerana tugas mereka hanya menyampaikan sahaja. Namun, mereka perlu baca semua skrip berita sejam lebih awal bagi memahami berita yang hendak disampaikan,” katanya menerusi Instagram.
Norlela yang juga penyampai berita RTM berharap individu berkenaan membuat ‘kajian’ terlebih dahulu sebelum menghentam profesion orang lain.
“Dalam unit berita banyak cabang tugas. Kadang-kadang apabila rasa diri sudah hebat, kita akan hilang pertimbangan dan rasa hormat pada orang lain,” katanya.
Sempena Hari Pekerja yang disambut semalam, Norlela berharap semua individu lebih progresif menjalankan tugas dan tidak sesekali merasakan diri lebih hebat daripada orang lain.
Beberapa hari lalu, penyanyi, Hattan menerima kecaman teruk susulan kontroversi dirinya menempelak pembaca berita Astro Awani, Nursyazwani Saiful Sham yang dikatakan tidak membuat kajian sebelum bertanya soalan mengenai pemergian arwah Mael XPDC.
Penyanyi berusia 58 tahun itu dikatakan berlagak sombong dan biadab ketika ‘menyekolahkan’ pembaca berita tersebut secara langsung.
Susulan itu, ramai pihak termasuk Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) menggesa penyanyi itu membuat permohonan maaf secara terbuka, selain gesaan menuntut Hattan digam daripada membuat sebarang kemunculan di mana-mana stesen televisyen.