Penternak bimbang kecurian lembu makin menjadi-jadi - Utusan Malaysia

Penternak bimbang kecurian lembu makin menjadi-jadi

PENTERNAK lembu yang kehilangan haiwan ternakan mereka pada sidang akhbar di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Penternak lembu dan kerbau di negeri ini terus dihimpit resah mengenangkan haiwan peliharaan itu terus-menerus menjadi buruan pencuri hingga terpaksa menanggung kerugian sehingga ratusan ribu.

Seorang penternak, R. Kaviyarasan, 38, berkata, kecurian ternakan itu dilihat semakin berleluasa dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini apabila 120 ekor lembunya hilang dikebas pencuri.

Katanya, selain lembu, dia juga terpaksa berputih mata apabila kira-kira 80 ekor kerbaunya mengalami nasib yang sama.

“Dalam masa terdekat ini, hampir setiap hari lembu dan kerbau peliharaan saya hilang. Kerugian yang ditanggung pun bukannya sedikit, hampir mencecah setengah juta.

“Walaupun memiliki dua kandang di Tanjung Tualang, kebanyakan ternakan ini dilepaskan bebas di kawasan padang ragut untuk makan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Dewan Tun Sambanthan, Kinta Valley di sini hari ini.

Menurutnya, dia telah membuat beberapa laporan polis berkaitan kecurian itu dan berharap pihak berkuasa dapat segera memberkas individu yang bertanggungjawab.

“Keluarga saya telah menternak lembu dan kerbau di sini sejak 20 tahun lalu. Sebelum ini keadaannya tidaklah terlalu teruk cuma beberapa tahun lepas sahaja kecurian semakin menjadi-jadi.

“Saya bimbang jika tiada tindakan tegas, 1,000 ekor lembu dan 500 ekor kerbau peliharaan saya pun akan hilang dikebas pencuri tidak lama lagi,” katanya.

Sementara itu rakannya, R. Gunasagaran, 54, berkata, dia kerugian hampir RM100,000 apabila kesemua 23 ekor lembu miliknya yang ditempatkan di dalam kandang hilang sekelip mata pada Januari lalu.

“Saya mula menternak lembu sejak Januari tahun lalu, tapi hairannya cukup setahun, lembu-lembu itu pun lesap di kebas pencuri.

“Sebulan dua selepas kejadian itu, saya ada juga cuba cari lembu-lembu itu namun sehingga kini masih gagal. Saya percaya sindiket curi lembu ini memang menyasarkan kandang ternakan saya,” katanya.

Bagi Nazri Zakaria, 38, kumpulan pencuri itu dipercayai menembak haiwan tersebut dengan ubat pelali sebelum ‘menyumbatnya’ dalam kenderaan.

Katanya, kumpulan tersebut juga akan menjalanlan kerja-kerja mereka selepas memastikan penternak lembu selesai membuat rondaan.

“Biasanya kami hanya sedar lembu berkurangan pada waktu petang ketika menghalau haiwan itu balik ke kandang dan mereka akan ambil lembu-lembu bersaiz besar.

“Paling baru, saya hilang 10 ekor lembu dengan anggaran kerugian RM60,000. Sudah empat laporan polis dibuat tapi tiada tindakan tegas yang diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya