PADANG BESAR: Peniaga di Arked Niaga Padang Besar di sini menggesa pelaksanaan bayaran letak kereta tanpa tunai buat pengunjung yang ingin ke lokasi tumpuan pelancong itu dapat dikaji semula oleh pihak berwajib.
Pelaksanaan bayaran tanpa tunai itu yang bermula pada 1 Mei lalu bukan sahaja menyukarkan pengunjung malah membebankan peniaga yang menetap di kawasan berkenaan.
Menerusi kaedah baharu itu, pengunjung boleh menjelaskan caj parkir kenderaan mereka secara tanpa tunai dengan bayaran sebanyak RM3 bagi sebuah kenderaan menerusi beberapa platform antaranya Touch ‘n Go.
Peniaga di sini pula akan diberikan pas bermusim dengan dikenakan bayaran RM30 sebulan manakala penduduk pula sebanyak RM15 sebulan.
Tiada caj dikenakan buat pengunjung yang menunggang motosikal.
Seorang peniaga pakaian, Syed Muhammad Muaz Syed Rosli, 32, berkata, dia tidak menghalang pelaksanaan itu namun pihak terlibat sewajarnya mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama peniaga dan penduduk di sini.
“Sepatutnya pihak terlibat perlu kaji dahulu secara menyeluruh pelaksanaan ini yang akan turut memberi kesan kepada peniaga setempat.
“Dan bukankah lebih baik jika mereka kenakan caj bayaran itu bermula dari pukul 9 pagi sehingga 6 petang memandangkan kawasan ini sudah tiada pengunjung pada waktu malam,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Syed Muhammad Muaz berkata, peniaga di sini sememangnya terkejut dengan kaedah bayaran parkir baharu itu memandangkan tiada sebarang perbincangan diadakan sebelum pelaksanaan inisiatif itu dibuat.
Katanya, peniaga hanya dipanggil untuk bertemu dengan operator parkir berkenaan selepas kaedah pembayaran baharu itu dilaksanakan.
“Oleh sebab itulah kita minta mereka kaji dan buat beberapa penambahbaikan memandangkan ramai yang terkesan dengan pelaksanaan itu,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai jam, Edward Tan, 31, berkata, pihaknya tidak menerima sebarang notis sebelum ini dan hanya mengetahui mengenai kaedah pembayaran baharu itu pada Isnin lalu.
Katanya, kaedah pembayaran itu sememangnya baik untuk menarik pelancong luar ke sini namun pihak terlibat juga seharusnya memikirkan tentang nasib penduduk yang menetap di sekitar arked niaga tersebut.
“Kita memang menyokong pelaksanaan ini namun pihak terlibat perlu melakukan beberapa penambahbaikan demi manfaat semua,” katanya. – UTUSAN