SETIU: Seorang pengusaha madu kelulut kerugian RM5,000 selepas empat sarang dan peralatan lain musnah dipercayai dirosakkan beruang matahari di Kampung Pengkalan Gelap, di sini, semalam.
Tengku Azam Tengku Mohammad berkata, kejadian itu disedari selepas dia terdengar bunyi bising dan mendapati seekor beruang sedang memusnahkan sarang kelulut di situ.
Menurutnya, kemusnahan berkenaan dipercayai sudah kerap berlaku di sekitar kawasan berdekatan namun merupakan kejadian pertama di Kampung Pengkalan Gelap.
“Ketika itu saya sedang berehat di rumah kira-kira pukul 10 malam sebelum terdengar bunyi bising menyebabkan saya keluar dan melihat terdapat seekor beruang cuba mengambil madu di sarang.
“Saya bersyukur tiada kejadian buruk menimpa kerana keluarga berada di dalam rumah. Kejadian itu kemudian dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
“Sehari sebelum ada serangan sama di kampung sebelah, jadi saya agak risau. Tak sangka giliran saya menjadi mangsa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Beliau yang juga peserta Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, serangan tersebut disyaki berpunca kesukaran haiwan liar itu mendapatkan bekalan makanan di habitat asalnya yang semakin mengecil di dalam hutan.
Sementara itu, Ketua Projek Ternakan Kelulut Komuniti Nelayan UMT, Prof. Shamsul Bahri Abd. Razak berkata, beruang matahari memiliki deria yang kuat untuk menghidu bau madu dari jauh terutama musim panas.
“Aktiviti perladangan dan pembangunan bangunan kediaman serta komersial yang semakin pesat menyebabkan haiwan liar lari daripada habitat semulajadi dan masuk ke kampung.
“Penternak kelulut sama ada berskala kecil atau besar boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan memasang pagar elektrik bagi mengelak serangan beruang berulang,” ujarnya. – UTUSAN