Pengurangan subsidi kepada T20 bantu wujud sistem subsidi bersasar - Utusan Malaysia

Pengurangan subsidi kepada T20 bantu wujud sistem subsidi bersasar

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yakin langkah kerajaan untuk tidak lagi memberi subsidi elektrik kepada golongan berpendapatan tinggi atau T20 dapat membantu kerajaan mewujudkan sistem pemberian subsidi bersasar kepada golongan yang layak.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, golongan T20 wajar membayar kadar tarif elektrik yang lebih kompetitif selaras dengan pendapatan bulanan mereka yang tinggi.

”Langkah ini tepat pada masanya kerana selama ini subsidi diberi tanpa mengira pendapatan, T20 sebenarnya tidak memerlukan sebarang subsidi.

”Pendapatan golongan T20 ini mencukupi untuk membayar tarif elektrik tanpa subsidi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan berpendapatan tinggi atau T20 tidak akan lagi menerima sebarang subsidi sama ada untuk penggunaan elektrik atau menunaikan haji.

Anwar berkata, Pangkalan Data Utama (Padu) iaitu sistem penyelarasan data yang dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini akan menyelaras penilaian agihan subsidi kepada golongan yang layak.

Menurut Mohideen, CAP sendiri sebelum ini telah berkali-kali mendesak kerajaan untuk melaksanakan dasar subsidi yang bersasar kepada golongan memerlukan khususnya yang berpendapatan rendah.

”CAP percaya dalam aspek pemberian subsidi perlu ada subsidi bersasar yang diberikan kepada golongan tepat.

”Langkah pemberian subsidi bersasar ini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kebergantungan rakyat terutama mereka yang berpendapatan tinggi kepada subsidi kerajaan,” katanya.

Tambah beliau, pengurangan subsidi kepada golongan T20 juga dapat membantu kerajaan menjimatkan perbelanjaan, sekali gus membantu meningkatkan semula ekonomi.

”Lebihan wang yang ada selepas pengurangan subsidi kepada T20 boleh digunakan untuk menjana ekonomi negara dan membantu mereka yang berpendapatan rendah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya