KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memfailkan saman fitnah terhadap Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos dan menuntut ganti rugi melebihi RM1 juta.
Saman tersebut difailkan pada melalui firma guaman, Tetuan Aizat Izuan Shakeel pada 24 Mei lalu di Mahkamah Tinggi di sini.
Menurut penyata tuntutan yang difailkan, pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 diadakan 14 Januari lalu, Jamal yang dinamakan sebagai defendan tunggal telah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa Khairy telah membuat kenyataan jahat terhadap UMNO berhubung isu pengundi hantu pada pengundian parti itu.
Jamal juga telah memuat naik rakaman sidang media itu di akaun Facebook `DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)’ dan TikTok di bawah nama pengguna ‘jamal_yunos’ bertajuk “Saya harap Khairy Jamaluddin dikenakan tindakan oleh Lembaga Disiplin UMNO selepas mengeluarkan kenyataan yang semborono dan memalukan UMNO #UmnoDuluKiniDanSelamanya”.
Khairy selaku plaintif menyatakan, kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu telah merujuk kepadanya dan turut menyebut namanya secara jelas.
Kenyataan-kenyataan berbaur fitnah itu antara lainnya menggambarkan bahawa plaintif adalah seorang pemimpin yang tiada integriti, tidak mempunyai kredibiliti, melakukan rasuah untuk menimbulkan perpecahan dalam kalangan ahli parti demi kepentingan peribadi serta tidak setia pada parti dan pemimpin parti.
Oleh itu, Khairy memohon perintah mahkamah menuntut Jamal membuat dan menerbitkan permohonan maaf di laman Facebook di bawah nama “DS Jamal Yunos (DS Jamal Yunos Official)”, akaun media sosial TikTok “jamal_yunos” dan akhbar-akahbar utama.
Plaintif juga memohon perintah agar Jamal memadamkan penerbita berbaur fitnah itu daripada akaun-akaun lama sosial terbabit.
Khairy turut memohon ganti rugi khas sebanyak RM1 juta dan ganti rugi am, teruk serta teladan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.
Turut dimohon ialah faedah, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Sementara itu, semakan di sistem dalam talian mahkamah menunjukkan kes saman tersebut ditetapkan untuk pengurusan kes, esok di hadapan Timbalan Pendaftar, Nik Nur Amalina Mat Zaidan.- utusan