Pengeluar sarung tangan setuju guna banyak lateks bantu pekebun getah

Pengeluar sarung tangan setuju guna banyak lateks bantu pekebun getah

FADILLAH Yusof ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara Kedua (MMN2) di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebanyakan syarikat pengilang sarung tangan di negara ini pada dasarnya bersetuju menggunakan lateks atau susu getah berbanding jenis yang beku atau sekerap.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia sebagai antara cara kerajaan menambah baik pendapatan pekebun kecil getah tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada getah import yang mencecah RM3 bilion setahun.

“Saya difahamkan banyak syarikat ini memang bersetuju untuk memindahkan produk import getah beku kepada susu getah buatan domestik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mineral Negara (MMN) di sini hari ini.

Menerusi Belanjawan 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan harga lantai getah beku daripada hanya RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram berdasarkan Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 2 Mac lepas menyarankan agar harga lantai getah sekerap itu dinaikkan lagi sehingga RM3 demi memanfaatkan lebih 500,000 pekebun kecil getah meningkatkan lagi produktiviti mereka.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, beliau memahami tuntutan pihak pekebun kerana pada masa ini harga susu getah amat mahal dalam lingkungan RM4 sehingga RM5 sekilogram.

“Cuma apa yang kerajaan mahu ialah ada jaminan bekalan berterusan secara konsisten sehingga kurang lagi bergantung import terutama untuk pengilang sarung tangan,” katanya.

Pada masa sama, beliau prihatin permintaan pekebun kecil mahu harga lantai ditambah sehingga RM3.50 sekilogram namun ia bergantung kepada keupayaan kewangan negara.

Justeru ujarnya sebagai alternatif, kerajaan memberi tumpuan meningkatkan pengeluaran getah cecair untuk kegunaan industri tempatan berbanding produk getah beku diimport.

Cara itu katanya, lebih praktikal namun beliau mengharapkan para pekebun akan dapat bekerja keras daripada kebiasaan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada pengilang.

Malahan jelas Fadillah, sekiranya penghasilan lateks domestik dapat dipertingkatkan, usaha itu juga mengurangkan kebergantungan kepada getah sekerap dibawa luar negara.

Tambahan pula, permintaan tinggi ke atas susu getah akan mendorong trend lonjakan permintaan yang mempengaruhi harga dan menambah pendapatan pekebun tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya