Pendakwah perlu lengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu - Utusan Malaysia

Pendakwah perlu lengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Persidangan Dakwah Serantau kali ke-9 di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan para pendakwah Islam seharusnya sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu agar dihormati oleh masyarakat.

Titah baginda, para pendakwah perlu melengkapkan diri dengan setiap aspek kehidupan agar boleh menjadi contoh yang terbaik kepada mereka di luar sana.

“Sebagai umat Islam kita semua mempunyai tanggungjawab untuk berkongsi keindahan Islam sesama umat manusia.

“Usaha berterusan perlu dilakukan untuk meningkatkan lagi kefahaman mengenai agama Islam kepada masyarakat sekeliling,” titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan Persidangan Dakwah Serantau kali ke-9 di
Hotel Seri Malaysia di sini, semalam.

Program tersebut dianjurkan melalui kerjasama Hidayah Centre Foundation, MyGuide Malaysia, Gabungan Dakwah Malaysia dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Keberangkatan tiba baginda ke persidangan yang dihadiri 200 peserta dari 40 buah negara itu disambut oleh Pengerusi Hidayah Centre Foundation, Ir Dr. Muhammad Fuad Abdullah dan Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester.

Sementara itu, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, akidah perlu dilindungi dari sebarang anasir yang tidak baik yang boleh membawa kepada kesan negatif.

“Marilah kita sama-sama menguatkan lagi pegangan akidah terutamanya untuk diri kita sendiri. Marilah kita melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berdedikasi sebagai khalifah dan pendakwah untuk mengajak manusia mengakui ke jalan kebaikan,” titah baginda.

Seterusnya baginda berharap agar semua peserta mendapat manfaat daripada persidangan berkenaan dan dapat menimba pelbagai ilmu, bertukar pengalaman serta dapat berkenalan antara satu sama lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN