PADANG BESAR: Usaha bagi pemulihan penagihan dadah perlu dilaksanakan secara kolektif dan tidak hanya digalas oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) semata-mata.
Malah, komitmen dan keterlibatan semua pihak meliputi klien, ahli keluarga, komuniti setempat, jabatan, badan bukan kerajaan (NGO) dan semua pemimpin adalah sangat penting dalam mengekalkan kepulihan sepanjang hayat.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kesepakatan dan keterlibatan semua pihak meliputi gabungan idea-idea bernas akan mewujudkan pendekatan yang lebih mampan dan harmoni.
“Sehubungan dengan itu, beta mengajak seluruh rakyat melangkaui latar belakang dan ideologi untuk terus komited dalam menyokong usaha-usaha memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negeri dan negara ini,” titah baginda sewaktu berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Bukit Chabang, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berharap agar AADK dapat terus memberikan tahap prestasi perkhidmatan yang tinggi dalam menerajui program rawatan dan pemulihan penagihan dadah di negara ini.
Titah baginda, walaupun mungkin terdapat pandangan sinikal dan stigma segelintir masyarakat terhadap usaha membanteras gejala dadah, AADK tetap teguh dengan iltizamnya dalam memastikan pemulihan setiap klien.
“AADK teguh dengan iltizamnya baik dari aspek pendidikan pencegahan, pemulihan penagihan dadah dan juga penguatkuasaan Akta Penagihan Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” titah baginda.
Titah baginda, selain mengubah tingkah laku berkaitan tabiat penagihan dadah, Puspen juga membantu dalam memberikan asas-asas ilmu berkaitan kerohanian, pengurusan diri dan kemahiran hidup kepada setiap klien.
“Usaha ini adalah untuk mendepani penolakan sosial, membina semula keyakinan, kemahiran bidang pekerjaan dan kefungsian diri dalam erti kata hidup sebenar,” titah baginda.-UTUSAN