KUALA NERUS: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus membuat laporan polis hari ini berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang dibuat di akaun Facebook palsu menggunakan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Dr. Ahmad Razif Abdul Rahman.
Menurut Ketua Pemudanya, Mohd. Hafiz Aziz, hantaran berbaur fitnah itu disedari pada 26 Mei lalu, seolah-olah Ahmad Razif yang juga Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus menyatakan sokongan kepada bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai calon Menteri Besar.
“Status yang dimuat naik di Facebook tersebut kononnya dibuat Ahmad Razif, selain itu turut dikongsi akaun ‘Info Politik Terkini’ yang jelas cuba menjatuhkan imej dan reputasi bekas Menteri Besar itu.
“Kami rasa terpanggil kerana pengendali akaun Facebook palsu itu berniat jahat dengan menyebabkan kekeliruan sedangkan Ahmad Razif tidak pernah membuat kenyataan sedemikian.
“Ini jelas fitnah dan kami menyerahkan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis mengenai kenyataan fitnah di akaun Facebook palsu yang menggunakan nama ADUN Seberang Takir itu di Balai Polis Gong Badak, di sini, hari ini.
Selain itu, Mohd. Hafiz memberitahu, Kelab Penyokong Cikgu Razif turut membuat laporan polis berhubung kenyataan fitnah di akaun Facebook palsu tersebut.
“Laporan ini juga sebagai penafian terhadap kenyataan-kenyataan yang dimuat naik di dalam akaun Facebook palsu yang berselindung di sebalik nama Ahmad Razif bagi tujuan politik,” ujarnya. – UTUSAN