SEPANG: Seorang lelaki panik apabila jari manisnya bengkak akibat tersangkut cincin ketika bangun dari tidur, pagi tadi.
Mangsa berusia 20an berasal dari Bukit Pelandok di sini kemudian bergegas ke Balai Bomba dan Penyelamat Sepang untuk memohon bantuan.
Pegawai bomba, Nazirul Akmal A.Rahman berkata, mangsa tiba di balai pukul 9 pagi tadi dengan keadaan jari membengkak dan hampir kebiruan.
Beliau berkata, pihaknya mengambil masa lebih kurang 10 minit bagi memotong cincin jenis ‘stainless steel’ itu menggunakan peralatan khas.
“Mangsa memaklumkan jarinya tiba-tiba bengkak menyebabkan cincin yang dipakai sukar ditanggalkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pihaknya sentiasa berdepan kes sedemikian dan kebiasaannya mangsa sentiasa memakai cincin dan jarang menanggalkannya.
Justeru, katanya, pihaknya menasihatkan orang awam supaya elak memakai cincin ketika tidur bagi mengelak insiden cincin tersangkut. – UTUSAN