Sebenarnya, sebelum ada kalangan peminat Hafiz Suip yang datang mengadu, Cik Bunga terlebih dahulu sudah lama hairan bila melihat penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) ini.
Iyalah, Cik Bunga antara yang lama menyaksikan Hafiz tumbuh sebagai penyanyi dalam industri ini sejak zaman AF itu. Boleh dikatakan, banyak berbeza dah dia berbanding dulu.
Satu sisi, Cik Bunga sejuk hati sejak tahu Hafiz banyak dekatkan diri dengan agama. Baguslah bukan begitu?
Tetapi, satu sisi lagi sering tertanya-tanya kenapa ya Hafiz kurus betul sekarang.
Tempoh hari, ada berselisih dengan Hafiz di satu acara jualan hari raya. Hampir tak perasan itu adalah Hafiz sebab nampak lain benar.
Itu pasal kurus, satu lagi bila mana ada pula peminatnya yang mengadu bahawa sikap Hafiz juga sudah berlainan kini.
Menurut peminat setia Hafiz itu, saban tahun memang dia akan hantar hadiah kepada Hafiz ke kediamannya dan biasanya, dia sendiri yang akan turun ambil dan beramah mesra dengan peminat walau sekejap.
Tetapi, kebelakangan ini keadaan itu sudah tak berlaku. Hafiz dah kurang hendak beramah mesra sangat dengan peminat. Pendek kata, dinginlah.
Sampaikan ada peminatnya yang berkecil hati dengan sikap Hafiz. Ramai yang tertanya-tanya, Hafiz yang sekarang bukan macam dulu dan merindui Hafiz yang ‘lama’.
Cik Bunga pun tak tahulah hendak kata apa sebab peminat yang rapat mungkin lebih perasan akan perbezaan artis kesayangan mereka.