KOTA KINABALU: Tindakan menggunakan akuan bersumpah (SD) bagi menjatuhkan kerajaan hanya akan mengundang persepsi negatif masyarakat antarabangsa terhadap ketidakstabilan politik di negara ini.
Justeru, sudah tiba masanya untuk negara ini dipimpin dan diterajui oleh pemimpin muda/wajah baharu yang semestinya terhindar dari cara politik lapuk yang berlaku pada masa kini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Dr. Syahruddin Ag. Ahmad berkata, hanya pemimpin muda atau muka baharu sahaja dapat mengubah dinamika dan landskap politik tanah air yang masih dibelenggu cara politik lapuk.
Beliau berkata, pemimpin politik muda mempunyai kesedaran dan aspirasi yang jelas tentang hala tuju pentadbiran kerajaan bagi membawa Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi dari segi kualiti kepimpinan melalui pendekatan yang matang berbanding situasi sekarang yang penuh dengan kemelut dan drama politik yang sukar diramal dan merimaskan ramai pihak khususnya pengundi dan rakyat di negara ini.
“Saya melihat pemimpin muda akan menjadi penentu kepada legasi politik Malaysia yang lebih matang dan mampu membawa kemajuan negara dan paling penting, meletakkan negara ini sebagai negara yang stabil.
“Pemimpin muda yang berjiwa besar dan sepakat untuk menjernihkan situasi politik negara adalah jaminan kepada wajah baharu kerajaan Malaysia yang dihormati dan disegani di pelbagai peringkat baik lokal, rantau malah juga di peringkat global,” katanya.
Menurut Syahruddin, berdasarkan situasi politik semasa, beliau melihat ahli-ahli Parlimen yang dilantik perlu ketepikan kepentingan peribadi dan tunggu sehingga tempoh matang pemerintahan kerajaan sebelum menggerakkan rancangan untuk menukar kerajaan
Usaha mengubah tampuk kepimpinan kerajaan Malaysia pada masa sekarang hanya akan mengundang persepsi negatif masyarakat antarabangsa bahawa pemerintah di negara ini seringkali berhadapan dengan ketidakstabilan politik akibat daripada gelagat ahli-ahli politiknya.
Tambahan pula, ahli-ahli Parlimen yang dilantik sebagai ahli Dewan Rakyat perlu sedar bahawa sebarang tindak-tanduk untuk mengubah kerajaan pada waktu ini sudah tentu merencatkan agenda dan rancangan pembangunan serta kemajuan yang dirangka oleh kerajaan.
Ketidakstabilan politik akan memberi kesan besar kepada imej kerajaan di mata pelabur asing dan situasi itu semestinya akan menjejaskan ekonomi negara kerana pelabur yang berhasrat menanam modal di negara ini pasti akan beralih kepada negara jiran.
Kepentingan dari segi kestabilan politik dan keutuhan kerajaan adalah pertimbangan utama yang diambil kira oleh mana-mana syarikat atau konglomerat antarabangsa.
Jadi, kegagalan memastikan kerajaan berada di landasan yang sepatutnya akan membuatkan pelabur ragu-ragu seterusnya menjauhkan diri daripada negara ini kerana ketidakstabilan politik yang sedang berlaku.
Sejak beberapa hari lalu, pemimpin pembangkang menggunakan media sosial mendakwa mereka mempunyai sokongan sehingga 126 Ahli Parlimen.