Pemilik premis disimbah asid, cat turut diugut bayar RM10,000 - Utusan Malaysia

Pemilik premis disimbah asid, cat turut diugut bayar RM10,000

SUSPEK yang dipercayai melakukan perbuatan khianat ke atas premis-premis menjual kenderaan baharu dan terpakai di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Suspek yang terlibat dalam kes menyimbah asid dan cat membabitkan 10 buah premis menjual kenderaan terpakai serta kenderaan baharu di kawasan Timur Laut di sini turut melakukan pemerasan terhadap pemilik-pemilik premis terlibat.

Selepas menyimbah cat dan asid ke premis-premis tersebut, suspek kemudiannya bertindak menghantar mesej pesanan ringkas (SMS) kepada pemilik dan meminta wang sebanyak RM10,000 serta mengugut akan melakukan perbuatan sama sekiranya tidak dibayar.

Difahamkan setakat ini, tiada pemilik yang membuat bayaran RM10,000 seperti yang diminta suspek.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sejak 2 Mei hingga 23 Mei, polis menerima 12 laporan membabitkan 10 premis kenderaan baharu dan terpakai yang disimbah asid dan cat oleh suspek.

“Setakat ini, sebanyak 43 buah kereta dan 18 buah motosikal mengalami kerosakan akibat tindakan khianat suspek dan kerugian dianggarkan sehingga RM60,000.

”Suspek menggunakan motosikal jenis Yamaha 135 LC dan mensasarkan premis menjual kereta dan motosikal.

”Bagi tiga kes terbaharu? suspek menggunakan asid dipercayai peluntur cat yang dibaling ke premis-premis yang menjadi sasaran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan, suspek melakukan jenayah berkenaan seorang diri dan bergerak antara pukul 3 petang hingga 6 pagi.

”Pihak polis telah mewujudkan satu pasukan khas dan melancarkan operasi mengesan suspek yang terlibat dengan kejadian ini.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam pada itu, Soffian berkata, polis menerima satu laporan membabitkan sebuah kedai menjual motosikal di Jalan Datuk Keramat di sini yang turut menjadi mangsa perbuatan khianat, kira-kira pukul 10.42 malam, semalam.

”Cermin kedai ini didapati retak dan terdapat kesan serpihan tembakan dan kita percaya ia bukan berpunca daripada senjata api, namun suspek dipercayai menggunakan senapang angin.

”Suspek perbuatan khianat ini didapati menaiki kereta jenis Proton Wira Aeroback berwarna hitam dan mangsa tidak menerima SMS berbentuk ugutan setakat ini,” katanya.

Tambah beliau, polis juga masih menyiasat sama ada perbuatan khianat semalam dilakukan oleh suspek sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya