Pembinaan kampus UPSI di Teluk Intan diteruskan - Utusan Malaysia

Pembinaan kampus UPSI di Teluk Intan diteruskan

NGA Kor Ming (kanan) menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak yatim pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pembinaan kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan di sini akan diteruskan selepas terbengkalai sejak 2017.

Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bagi membincangkan usaha meneruskan pembinaan kampus UPSI itu.

Kor Ming yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan berkata, Mohamed Khaled bersetuju untuk meneruskan pembinaan UPSI Cawangan Teluk Intan dengan peruntukan RM130 juta dengan tender terbuka.

“Bulan ini juga tender akan dibuka. Ini adalah bukti komitmen Kerajaan Perpaduan bagi memberi khidmat bakti terbaik kepada rakyat di Teluk Intan tanpa kira agama, kaum dan fahaman politik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Teluk Intan di Dewan Bandaran di sini hari ini.

Semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan Parlimen Teluk Intan pada 2014, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan cawangan UPSI di Teluk Intan dengan peruntukan RM120 juta.

Status kampus UPSI itu menimbulkan tanda tanya penduduk apabila tapak projek di Batu 4, Changkat Jong sudah ditinggalkan dan dinaiki semak. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN