PUTRAJAYA: EMRAZ Travel & Tours Sdn. Bhd. (EMRAZ) sedang mengemas kini jadual umrah dan pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Zulkarnain Endut berkata, proses itu akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat dan ia boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat jika jemaah yang terlibat turut memberi kerjasama kepada syarikat.
Beliau berkata, pihaknya turut meminta jemaah supaya hanya merujuk kepada syarikat untuk mendapatkan info yang sahih berkaitan isu yang dihadapi ketika ini.
“EMRAZ komited memastikan mereka yang terlibat mendapat semula wang mereka,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Dalam pada itu, Zulkarnain berkata, beliau menafikan dakwaan kononnya EMRAZ akan menutup operasinya seperti mana tular di media sosial.
Katanya, baru-baru ini, pihak syarikat bertindak menghantar semula jemaah ke Tanah Suci sebagai langkah memulihkan semula perkhidmatannya dan mengembalikan kepercayaan pelanggan selepas berdepan dengan isu beberapa bulan lalu.
“EMRAZ membuat dua penerbangan sebelum ini iaitu pada 15 dan 19 Mei lalu bagi menilai sendiri kos pengurusan jemaah dapat dilakukan dengan jumlah operasi
yang lebih kecil berbanding sebelum ini.
“Seramai 82 jemaah diterbangkan dalam dua trip pemulihan yang dilaksanakan itu dan diharap agar pemulihan operasi dapat dilaksanakan selepas musim umrah yang akan dibuka selepas musim haji,” katanya.
Sebelum ini, sebuah jawatankuasa bertindak mangsa umrah EMRAZ meminta syarikat itu menyelesaikan tuntutan lebih RM6.2 juta oleh 602 individu susulan gagal membawa jemaah ke Tanah Suci.
Ketuanya, Rusman Abu Samah berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga awal Jun ini bagi menyelesaikan tuntutan dan jika gagal dipenuhi, kes akan di bawa ke mahkamah. – UTUSAN