PETALING JAYA: Seorang wanita dipercayai pembantu rumah warga asing yang diselamatkan selepas dirantai majikannya dalam kejadian di Taman Tenaga, Kajang dekat sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah itu dirantai oleh sepasang suami isteri tempatan di rumah terbabit
Kata beliau, mangsa dirantai di dalam bilik air oleh pasangan berkenaan kerana disyaki mencuri barang kemas.
“Justeru itu, kes disiasat mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan yang salah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Terdahulu, sebuah media melaporkan, seorang orang awam terdengar jeritan wanita berkenaan ketika dia ke kedai runcit di kawasan perumahan berkenaan.
Memandangkan rumah itu berkunci, dia telah menghubungi pihak polis untuk membuat pemeriksaan.
Pihak polis kemudiannya memecah pintu rumah itu dan ditemukan seorang wanita dalam keadaan dirantai dan lesu di dalam bilik air. – UTUSAN