ALOR SETAR: Beberapa projek pembangunan di negeri ini didakwa perlahan dan terjejas dalam tempoh lama disebabkan beberapa isu yang tidak diberi perhatian dengan betul oleh kerajaan negeri.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Zamri Yusuf berkata, keadaan itu menyebabkan Kedah sukar mendapat projek baharu disebabkan kemajuan projek-projek sedia ada tidak memberangsangkan.
Antaranya, pembinaan lima loji rawatan air (LRA) yang ada antaranya baru mencapai tahap 10 peratus dalam tempoh tiga tahun, selain rancangan tebatan banjir yang sehingga kini statusnya tidak berkembang sejak Pakatan Harapan (PH) menyelesaikan isu lencongan di Gunung Keriang serta Kuala Sungai pada 2019 dan 2020 ketika menjadi kerajaan negeri.
“Ada projek yang terjejas kerana masalah pengambilan tanah serta terkait beberapa isu dengan masyarakat setempat. Untuk menyelesaikan isu tersebut, kerajaan negeri perlu beri perhatian penuh.
“Sebagai contoh dalam isu pengambilan tanah, kerja yang perlu dilakukan bukan setakat wartakan saja sebaliknya selepas itu perlu ada tindakan susulan termasuk persetujuan ramai terhadap kerja yang hendak dilaksanakan.
“Jadi apabila Menteri Besar tidak teruja dengan pengumuman RM1.6 bilion baru-baru ini kerana mendakwa ia hanya projek sudah diumum dan diusahakan kerajaan terdahulu, maka itu sebenarnya menjadi bukti Kedah sukar mendapat projek baharu kerana projek-projek sebelum ini pun banyak terjejas dan berjalan terlalu perlahan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bagi menjelaskan mengenai projek Kerajaan Persekutuan menggantikan Jambatan Manjalara di Jalan Putra di sini, hari ini.
Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini mendakwa, peruntukan RM1.6 bilion diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir ke Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Alor Setar hanya melibatkan perkara rutin dan bukanlah benda baharu.
Mengulas lanjut, Zamri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Suka Menanti mendakwa, pihaknya menerima rungutan daripada kontraktor terutamanya kontraktor kecil di Kedah bahawa masing-masing sudah mula tiada kerja kerana ketiadaan projek baharu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, penggantian Jambatan Manjalara yang dijangka siap sepenuhnya pada Julai 2025 bakal memberi manfaat besar tidak hanya kepada lalu lintas di situ malah aspek pelancongan di Alor Setar.
“Jambatan baharu ini akan berada di kedudukan lebih tinggi berbanding paras sungai, sekali gus membolehkan aspek pelancongan menelusuri Sungai Kedah boleh dilaksanakan dengan lebih lancar ke lokasi lebih jauh menggunakan bot.
“Selain itu, jambatan ini juga secara keseluruhannya akan memiliki empat lorong berbanding cuma tiga sebelum ini. Keadaan itu akan membantu mengurangkan kesesakan terutamanya di waktu puncak,” katanya. –UTUSAN