Pemandu jengkaut maut dihempap batu kuari - Utusan Malaysia

Pemandu jengkaut maut dihempap batu kuari

OPERASI mengeluarkan pemandu jengkaut yang tersepit dalam jentera setelah dihempap bongkah batu di tapak kuari di Simpang Pulai, Ipoh semalam. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang pekerja kuari maut selepas jengkaut yang dikendalikannya dihempap bongkah batu dianggarkan seberat 10 tan dalam kejadian di tapak kuari di Simpang Pulai di sini semalam.

Lelaki tempatan dari Gerik berusia 48 tahun itu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, maklumat kejadian itu diterima daripada orang awam pada pukul 4 petang.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku antara pukul 12 tengah hari sehingga 1 petang ketika mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembersihan batu di kawasan berkenaan.

“Bongkah batu dianggarkan seberat 10 tan telah jatuh dari ketinggian 25 meter dan menghempap jentera dikendalikan mangsa.

“Kejadian tersebut menyebabkan lelaki itu tersepit di bahagian kokpit jentera berkenaan sebelum berjaya dibawa keluar oleh pasukan bomba pada pukul 6.45 petang,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, kematian mangsa disahkan oleh petugas ambulans dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya