NIBONG TEBAL: Sudahlah tidak berhenti ketika lampu merah, seorang pemandu kereta turut bertindak melarikan diri daripada polis dan melanggar pula sebuah motosikal yang dinaiki seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Kejadian itu berlaku di dua lokasi berasingan iaitu berhampiran lampu isyarat di Jalan Besar Sungai Bakap serta lampu isyarat Jalan Sungai Bakap ke Jalan Changkat di sini, malam kelmarin sebelum tular di laman sosial sejak semalam.
Akibat kejadian itu, bahagian hadapan sebelah kanan motosikal mangsa rosak manakala bonet hadapan kereta suspek tercabut serta cermin besar hadapan dan kedua-dua cermin sisi kenderaan itu turut pecah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, terdahulu, pemandu berusia 49 tahun yang memandu kereta jenis Proton X50 itu ditahan polis yang dibantu dua anggota Rela kerana melanggar lampu merah kira-kira pukul 10.45 malam pada hari kejadian.
Katanya, suspek bagaimanapun enggan bekerjasama sebelum melarikan diri menghala ke Sungai Jawi dan membuat pusingan U di lampu isyarat Jalan Changkat tanpa memberhentikan kenderaan.
Beliau berkata, ekoran tindakan terburu-buru suspek, seorang anggota Rela bermotosikal yang cuba menahannya telah dirempuh, namun mangsa berusia 50 tahun bernasib baik kerana tidak mengalami kecederaan.
“Suspek kemudian berjaya ditahan di Jalan Tengah, Lorong 6 Kampung Jawi, Sungai Bakap dengan bantuan orang awam.
“Berlaku pergelutan ketika suspek cuba ditahan dan suspek turut cedera di bahagian tangan kiri.
“Ketika pasukan peronda polis tiba di lokasi, didapati cermin sisi serta hadapan kenderaan suspek juga telah dipecahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara melulu selain disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
“Semasa disoal siasat, suspek mengaku kenderaan yang digunakan itu adalah miliknya dan ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya.
“Bagaimanapun, suspek tidak mengaku menghalang tugas penjawat awam ketika itu,” katanya yang memberitahu, permohonan reman terhadap suspek telah dibuat di mahkamah di Jawi pada hari kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan. – UTUSAN